Oleh Julia Henry
30 Januari 2023, 11:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nibong Tebal – Operasi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal yang terletak di lot bangunan kedai, Taman Perindustrian Nibong Tebal secara rasminya bermula dengan majlis perasmiannya yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal, YB Fadhlina Sidek pada 29 Januari 2023.

Agenda penubuhan Pusat Khidmat Rakyat ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Perkara ini disampaikan oleh Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akim yang turut diberikan penghargaan untuk menyampaikan ucapan alu-aluan sempena perasmian Pusat Khidmat Rakyat Perlimen Nibong.

Dalam ucapan beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akim mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Nibong Tebal dan seluruh pasukan kerja yang menjayakan perasmian pusat berkenaan. “Pusat Khidmat Rakyat ini penting untuk kita memastikan penyampaian khidmat berlaku dan sampai kepada pengundi yang telah memberikan undian yang besar wakil rakyat yang sekarang ini menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen yang juga Menteri Pendidikan. Oleh sebab itu, pusat khidmat ini harus betul-betul boleh memberikan perkhidmatan kepada rakyat, khususnya rakyat di kawasan Nibong Tebal ini,” demikian kata Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akim.

Selaku Ahli Parlimen Nibong Tebal, YB Fadhlina Sidek dalam ucapannya berasa cukup gembira kerana majlis perasmian yang berlangsung dalam suasana santai, namun mendapat sokongan daripada banyak pihak. Malah, beliau berasa terharu apabila melihat kehadiran beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang seperti ADUN Jawi, ADUN Macang Bubuk dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, termasuklah Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying.

YB Fadhlina Sidek berkata, penubuhan Pusat Khidmat Rakyat bertujuan untuk mengorientasikan masyarakat dengan kerja-kerja sukarelawan dan menarik minat masyarakat untuk terlibat dalam lapangan kebajikan masyarakat. Malah, YB Fadhlina juga menyeru rakyat di Nibong Tebal yang mempunyai anak yang sudah tamat belajar atau yang sedang menunggu untuk mendapat pekerjaan untuk menghantar anak mereka bekerjasama secara sukarela di pusat tersebut untuk mendapat pengalaman tentang kerja kebajikan dan memupuk minat menjadi sukarelawan.

Berpegang pada slogan “Nibong Tebal Sejahtera”, YB Fadhlina akan merealisasikan beberapa usaha yang akan membawa kesejahteraan kepada rakyat di kawasan Parlimen yang diwakilinya itu. Antaranya, termasuklah menaik taraf kemudahan untuk orang awam seperti taman rekreasi dan memberikan ruang kepada pengusaha makanan francais untuk beroperasi di Nibong Tebal.

“Saya berharap bantuan ini dapat meringankan beban untuk ibu bapa dalam menyediakan peralatan dan kelengkapan sekolah anak-anak mereka apabila penggal persekolahan baharu bermula pada Mac nanti. Dan jika ada bantuan yang tidak sampai kepada golongan yang layak menerimanya, aduan boleh dibuat terus di Pusat Khidmat Rakyat ini,” demikian ujar YB Fadhlina mengakhiri ucapannya selepas menyampaikan sumbangan berupa beg dan peralatan sekolah kepada 150 anak yatim dan golongan asnaf.

YB Fadhlina Sidek mengunjungi jualan buku DBP sebagai tanda sokongan dalam usaha menyebarluaskan ilmu dan bahan bacaan kepada masyarakat.

Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut hadir memberikan sokongan dengan membuat jualan buku oleh Ujana Buku. Sebelum majlis berakhir, YB Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan mengunjungi Ujana Buku dan menerima sumbangan buku untuk dijadikan bahan bacaan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Zulfa Hamzah. Turut hadir bersama-sama beliau ialah Pengarah DBP Wilayah Utara dan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.