Oleh Abd Razak Osman
30 Januari 2023, 18:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Hampir 20 000 orang berkunjung Ke Bazar Buku Kedah 2023 setelah berlangsung selama lima hari di Kompleks Star Parade Alor Setar, Kedah yang berakhir hari ini.

Orang ramai, termasuklah pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Ahmad dan Sultan Abdul Halim Jitra turut hadir bagi menyaksikan pelbagai acara disusun.

Penganjuran ini buat julung kali diadakan oleh Persatuan Penyelidikan dan Pembudayaan Sejarah Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang (PESKAP).

Pengerusi Bazar Buku Kedah, Abdul Hadi Mat Taib berkata, pihaknya gembira kerana usaha yang dilakukan telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dan Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS).

Sebanyak 20 reruai pameran buku disediakan melibatkan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Malim), Farhana Book Resources, Sri Ayu Publishers & Distributors, UUM Press, RNZ Media Sdn. Bhd., Bitara Media dan lain-lain lagi.

“Di Bazar Buku Kedah ini, pengunjung boleh melihat dan membeli buku kesukaan masing-masing, termasuklah buku terbitan DBP dengan diskaun yang menarik.

“Pihak penganjur amat berpuas hati kerana hampir 20 000 pengunjung hadir bagi melihat acara pentas seperti program keluarga ceria, deklamasi puisi, teater persilatan serta lain-lain lagi,” katanya.

Penolong Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kedah, Fahmi Che Mat melakukan Pelancaran Buku Kumpulan Drama Pentas, Sepatu hasil karya Joe K.A.S terbitan DBP.

Hadir memeriahkan lagi majlis tersebut ialah Pengarah DBP Wilayah Utara, Nurul Julia Alani Henry, Pengurus Pusat Seni dan Budaya Universiti Utara Malaysia (UUM), Asmawiza Hussin dan Pengurus Besar Menara Alor Setar, Zamrie Abdul Razak.

Majlis penutupan Bazar Buku Kedah 2023 dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah, Datuk Najmi Ahmad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.