2 Februari 2023, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – “Mentaliti Rakyat Kelas Pertama dalam Segala Tindakan” melalui Program Digitalisasi Jamalullail dan Faizuddin Center of Educational Excellence (FCoEE) diharap akan dapat direalisasikan menerusi Kepercayaan atas kebolehan diri sendiri (self believe), Keyakinan diri yang tinggi (self confidence), Peningkatan harga diri (self esteem), dan Motivasi yang tinggi untuk kekal berjaya (self motivation).

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan “Majlis Apresiasi Akar Tunjang Kemenjadian Murid Tahun 2022” anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perlis yang diadakan di Dewan 2020 Kangar pada malam semalam.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan “Majlis Apresiasi Akar Tunjang Kemenjadian Murid Tahun 2022”.

Pada majlis yang sama, baginda turut berharap agar cogan kata “My School My Playground” akan dapat dilaksanakan dengan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang terkini serta penerapan budaya sekolah penyayang yang lebih berhemah untuk semua golongan murid. Kemahiran Kalis Masa Hadapan (KKMH) yang diterapkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis seperti kemahiran Teknologi Maklumat dan Pengurusan Acara akan mampu membuka peluang awal kepada para pelajar untuk melibatkan diri dengan aktiviti seperti pemasaran produk secara dalam talian dan mempengerusikan majlis formal di sekolah.

Tambah baginda,

Para tenaga pengajar di sekolah dan juga staf di Jabatan Pendidikan Negeri boleh mengambil kira dan mengadaptasi sistem pendidikan dari Australia dan New Zealand. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem pendidikan mereka adalah berlainan berbanding dengan sistem yang sedang diterapkan di sini. Sistem pendidikan mereka lebih mengutamakan konsep pembelajaran amali (hands on), seperti bersama-sama rakan sekelas untuk menyiapkan projek yang diberikan. Pendekatan tersebut telah terbukti berkesan untuk menarik minat para pelajar berbanding dengan hanya berada di dalam kelas sahaja.

Sistem pendidikan di Malaysia dan di negeri Perlis, khususnya sentiasa mempunyai ruang dan peluang untuk ditambah baik agar dapat kekal relevan untuk para pelajar, selari dengan peredaran masa kini.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Cikgu Naharudeen Othman. Hadir sama ialah YAB Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Negeri Perlis.

Turut berangkat bersama-sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.