Oleh Rosmani Omar
9 Februari 2023, 19:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Medan – Presiden Indonesia Joko Widodo mengucapkan selamat Hari Pers Nasional (HPN) kepada seluruh pengamal media Indonesia yang menyambutnya pada hari ini, iaitu 9 Februari 2023 di Gedung Serbaguna Pemerintah Provinsi Sumatra Utara, Kabupaten Deli Serdang, Medan, Indonesia. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pers kerana jasa dan bakti mereka kepada bangsa dan negara kerana Pers merupakan aset penting penting dalam menyuarakan ajakan perjuangan kemerdekaan, menyuarakan inovasi pembangunan dan menjadi pejuang utama demokrasi.

Dalam ucapan perasmi HPN pada hari ini, Presiden Joko Widado menyatakan bahawa “dunia Pers tidak sedang baik-baik sahaja.”  Tambah beliau:

Dulu isu utama dunia Pers adalah kebebasan Pers. Selalu itu, kita suarakan. Sekarang apakah isu utamanya tetap sama? Menurut saya sudah bergeser (berubah), kerana kurang bebas apalagi kita sekarang ini?

Menurut Presiden Joko Widodo, isu Pers dahulu berkisar tentang kebebasan media, nampu Pers kini perlu memberikan tumpuan terhadap pemberitaan yang bertanggungjawab. Hal ini demikian kerana pada masa ini masyarakat telah kebanjiran berita daripada pelbagai medium digital termasuklah media sosial.

Presiden Indonesia Joko Widodo semasa berucap merasmikan Hari Pers Nasional 2023.

Tambah beliau lagi, perkara ini terjadi disebabkan perkembangan teknologi dan kandungan berita turut dihasilkan oleh teknologi kecerdasan buatan. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa algoritma raksasa digital yang cenderung mementingkan kepentingan aspek komersial semata-mata turut memberikan kesan terhadap dunia media pada masa ini. Oleh itu, beliau mengingatkan pengamal media agar bertanggungjawab terhadap berita yang disalurkan kepada masyarakat.

Terdahulu, semasa menyambut kehadiran anggota Pers di Merdeka Palace, Jakarta, pada 6 Februari, Presiden Joko Widodo menyampaikan mesej penting, iaitu selain kepentingan kebebasan akhbar, pemberitaan juga harus dilaksanakan dengan amanah dan berita yang diterbitkan perlu berita yang sah kandungannya. Dalam hal ini, beliau menasihati pengamal Pers agar sentiasa mengamalkan etika kewartawanan.

Semasa sambutan HPN pada pagi ini, Presiden Joko Widodo turut menyampaikan cenderamata kepada Pers Indonesia yang meraih anugerah dalam penerbitan berita.

HPN disambut pada setiap tahun pada 9 Februari bertepatan dengan Hari Ulang Tahun Persatuan Wartawan Indonesia (PWI). Sambutan hari tersebut adalah berdasarkan keputusan dan pengisytiharan yang dibuat oleh Presiden Indonesia ke-5 pada tahun 1985.

Bersempena dengan sambutan HPN pada 9 Februari 2023, Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) cabang Kuala Lumpur turut menyertai sambutan hari tersebut yang diadakan di Medan, Indonesia pada pagi ini. Pihak ISWAMI diketuai oleh Dato’ Mokhtar Hussain dan turut hadir ialah 22 orang pengamal media Malaysia yang terdiri daripada ketua pengarang dan pengarang kanan akhbar, televisyen dan majalah bagi mewakili media Malaysia ke HPN pada kali ini.

Pihak ISWAMI yang hadir ke HPN 2023 yang diketuai oleh Dato’ Mokhtar Hussain.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.