Oleh Rosmani Omar
9 Februari 2023, 23:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 Medan – Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Malaysia dan Persatuan Wartawan Indonesia cabang Kalimantan Timur (PWI KALTIM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada petang tadi untuk melaksanakan kerjasama strategik dalam pertukaran maklumat antara kedua-dua buah negara. Bagi ISWAMI, hubungan media yang sedia terjalin antara kedua-dua negara harus dimanfaatkan sebaik-baik mungkin dalam konteks yang lebih luas terutamanya dari aspek penyaluran berita. Hal ini demikian kerana kerjasama ini secara tidak langsung dapat memperkukuh hubungan antara negara.

Penandatanganan MoU antara ISWAMI dengan PWI KALTIM.

Bagi pihak ISWAMI Malaysia, MoU tersebut ditandatangani oleh Presiden ISWAMI, iaitu Dato’ Mokhtar Hussain manakala bagi PWI KALTIM pula ditandatangani oleh Ketua PWI KALTIM, Bapak Endro S Effendi. Penandatanganan MoU tersebut ditermeterai di Medan dan disaksikan oleh Konsul Jeneral Ke-12 Malaysia Medan, Encik Aiyub Omar; Penasihat ISWAMI Malaysia, Dato’ Zakaria Abdul Wahab; Timbalan Presiden Iswami Malaysia, Dato’ Zulkefli Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Dato’ Chamil Wariya; Pengarang Kumpulan NSTP, Dato’ Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan bekas Presiden ISWAMI Malaysia, Dato’ Mior Kamarulbaid Mior Shahid serta pihak ISWAMI Malaysia yang lain yang menghadiri Hari Pers Nasional (HPN) 2023 di Medan, Indonesia pada hari ini.

Dalam perkembangan yang lain, selepas menghadiri HPN 2023, pihak ISWAMI dengan delegasinya sebanyak 23 orang berpeluang mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Konsulat Malaysia di Medan.

Semasa kunjungan tersebut, Konsul Jeneral ke-12 Malaysia Medan, Encik Aiyub Omar berkongsi maklumat tentang peranan konsul di Medan. Menurut beliau, Konsulat Jeneral Malaysia Medan banyak membantu dalam menguruskan hal ehwal berkaitan dengan kepentingan ekonomi (perdagangan) dan urusan warganegara Malaysia di situ. Misalnya, beliau turut membantu para pelajar dan pelabur Malaysia di Medan yang memerlukan bantuan dalam ruang lingkup tugasnya.

Mengulas tentang tugas yang dilaksanakan, jelas beliau:

“Banyak isu rakyat Malaysia di sini yang ditahan, yang dipenjara dan sebagainya kerana masalah isu pengedaran dadah. Jadi, kita bersama-sama membanteras dan memberikan laporan kepada negara kita.”

Menurut Encik Aiyub, Konsulat Jeneral Malaysia Medan mempunyai enam agensi dan merupakan konsulat Malaysia yang terbesar di Indonesia.

ISWAMI bergambar bersama-sama pihak Konsulat Jeneral Malaysia Medan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.