21 Februari 2023, 14:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan amanatnya kepada warga DBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) lahir daripada semangat dan sejarah perjuangan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Berdasarkan semangat inilah, maka dibentuk Budaya Korporat DBP bagi melahirkan manusia yang bertanggungjawab terhadap kerja dan sikapnya.

Menurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, pada hakikatnya Budaya Korporat DBP tanpa disedari merupakan terjemahan kepada Malaysia Madani seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 19 Januari lalu.

Kerangka Madani itu sudah lama dipancangkan dan diterapkan dalam roh organisasi ini dan kini berada dalam kerangka yang lebih menyeluruh.

Dalam membina dan mendaulatkan bahasa kebangsaan, kita tidak seharusnya berasa usaha kita sudah cukup sempurna dalam membawa perubahan seperti yang terkandung dalam visi dan misi DBP.

Kita juga tidak boleh menjadikan pencapaian tahunan sebagai tanda aras utama terhadap segala tugasan. Pada hari ini, kesempurnaan bukanlah satu-satunya penanda aras dalam mengukur kecemerlangan perkhidmatan awam.

YBrs. Dr. Hazami Jahari mengakui bahawa organisasi ini masih terkait dengan beberapa isu yang perlu diberikan perhatian dan penelitian, sama ada isu dalaman mahupun luaran.

Namun begitu, beliau mengatakan bahawa semangat islah amat penting untuk diutamakan dengan memastikan perkara yang dilakukan ada penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Kita perlu tanamkan semangat islah ini dalam diri setiap warga DBP agar organisasi ini dapat menjadi sebahagian daripada penggerak kemajuan negara.

Persembahan nyanyian lagu DBP daripada staf baharu turut diadakan.

Menerusi amanatnya pada hari ini, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyeru seluruh warga DBP agar terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh iltizam, berintegriti dan berlandaskan semangat islah, sebagai tanda kita mensyukuri setiap peluang dan rezeki yang masih menjadi milik kita sehingga hari ini.

Berpegang pada slogan “Bahasa Jiwa Bangsa”, YBrs. Dr. Hazami Jahari menjelaskan bahawa kesemua isu sedia ada perlu diurus dan dicari jalan penyelesaiannya secara baik, berhikmah dan berkesan. Beliau turut memberikan penekanan terhadap peri pentingnya peranan semua pihak tanpa berkecuali, iaitu dari peringkat atasan hingga ke peringkat bawahan dan dari bawah ke atas supaya dapat bekerja sebagai satu pasukan.

YBrs. Dr. Hazami juga turut memberikan perhatian terhadap usaha pengukuhan dan pembentukan karyawan yang berketerampilan, berkualiti dan berdaya usaha tinggi.

Antara staf DBP yang hadir mendengar amanat Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Kita semua mempunyai amanah yang perlu dilunaskan dengan satu matlamat akhir, iaitu kita dapat meletakkan bahasa, sastera dan ilmu pada kedudukan yang disegani, diyakini dan dihormati.

Demikianlah antara amanat YBrs. Dr. Hazami Jahari sebagai Ketua Pengarah DBP semasa mengakhiri ucapannya dengan hasrat bahawa beliau akan berusaha mengemudi DBP ke arah yang lebih baik untuk membentuk DBP yang Madani, sekali gus menerapkan konsep Malaysia Madani seperti yang diimpikan oleh pucuk pimpinan negara. Majlis amanat tersebut berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada pagi tadi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.