25 Februari 2023, 15:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar ­­– Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada sebanyak 114 orang asnaf terpilih di Masjid Al-Ridzuan, Kg. Behor Masjid dekat Kangar baru-baru ini.

DYTM Raja Muda Perlis berkenan mencemar duli menyampaikan sumbangan kepada ahli kariah.

Sebanyak 56 penerima adalah dalam kalangan anak kariah Kg. Behor Masjid manakala 58 lagi penerima ialah dari kariah Kg Tok Kaya. Masing-masing menerima sumbangan daripada MAIPs bernilai RM700 setiap seorang dengan jumlah penuh sebanyak RM79,800 daripada Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs. Dalam majlis tersebut, baginda turut bertitah:

Masyarakat perlu sedar bahawa agenda pendidikan negara tidak boleh dilaksanakan bersendirian tanpa perlu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam memastikan pendidikan negara mencapai tahap dan kualiti yang tinggi setanding negara-negara maju yang lain.

Kekuatan kerjasama dalam dan luar sekolah khususnya hubungan erat antara sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), orang ramai, agensi kerajaan, swasta, korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya dilihat perlu sentiasa dipertingkat.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa menyampaikan titah baginda.

Oleh sebab pendidikan hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran termasuklah globalisasi, fenomena sosial serta aspirasi yang perlu dicapai, maka usaha bersepadu perlu dilakukan demi perubahan pemikiran dan pendekatan, sejajar kehendak dan perubahan pendidikan.

 

Dalam majlis tersebut, setiap penerima juga berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan sebelum menerima sumbangan sempena program “Perlis Hebat! Rakyat Hidup Sihat” atas inisiatif MAIPs bersama-sama dengan Jabatan Kesihatan Negeri.

Dalam perkembangan yang lain, pada ketika ini juga Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) yang merupakan Pusat Kecemerlangan naungan MAIPs di bawah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) sedang menjalankan satu “Bengkel Hala Tuju” sebagai medium perubahan pemikiran dan kecemerlangan kepada pendidikan di negeri Perlis. Program ini antara lain melibatkan aspek-aspek pembangunan sumber manusia, pendigitalan, penyelidikan & penerbitan, penjenamaan (branding) serta model perniagaan (business model), diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIPs dan Pengerusi FcoEE, iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin. Turut serta ialah mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.