26 Februari 2023, 18:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – “Integriti itu boleh didefinisikan sebagai kejujuran, ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan. Hal ini bermaksud integriti ialah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruh, boleh dipercayai, dan sebagainya. Dalam erti kata lain, integriti merupakan semua nilai-nilai murni yang perlu ada pada setiap individu mahupun organisasi.”

DYTM Raja Muda Perlis (dua dari kiri) sangat dekat di hati rakyat.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi menjejaki dan menyantuni asnaf di sekitar kawasan Kayang baru-baru ini.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menyerahkan agihan zakat MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih terdiri daripada Salmah Hassan, 62 tahun; Miss Jehyoh, 63 tahun; dan Sepiah Seman, 81 tahun di rumah masing-masing. Titah Tuanku Raja Muda lagi:

 “Kita sering kali mengaitkan soal integriti ini dengan rasuah. Penggunaan integriti ini amatlah meluas di mana hal ini merangkumi tatakelakuan yang melibatkan isu-isu nilai, etika dan pegangan agama seseorang. Secara ringkasnya, integriti boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu integriti individu dan integriti organisasi.”

“Integriti individu merujuk kepada himpunan kualiti unggul yang wujud dalam kalangan individu dan kualiti ini berteraskan kepada prinsip berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral tinggi. Hal ini bermakna, integriti ialah keselarasan antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum.”

Tambah baginda, integriti organisasi pula tercermin dalam perumusan dan perlaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika berkenaan ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehinggalah menjadi satu kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi atau “corporate culture”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.