26 Februari 2023, 18:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik pengumuman Belanjawan 2023 yang menyaksikan sektor pendidikan terus diberikan keutamaan oleh kerajaan. Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada 24 Februari 2023, jelas mencerminkan prinsip Malaysia MADANI yang memelihara kesejahteraan rakyat dan negara. 

Dalam Belanjawan 2023, antara fokus utama untuk KPM adalah meningkatkan taraf pendidikan negara dan memelihara kebajikan para guru serta murid-murid.

KPM menerima peruntukan tertinggi, iaitu RM55.2 bilion berbanding dengan RM52.6 bilion pada tahun lepas.

  1. Daripada jumlah keseluruhan itu, RM2.3 bilion adalah untuk membina infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di sekolah-sekolah. Hal ini termasuklah RM920 juta untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur 380 buah sekolah daif seluruh negara khususnya di Sabah dan di Sarawak melalui kaedah perolehan khas, selain RM900 juta untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Sebanyak RM560 juta juga diperuntukkan untuk pembinaan tujuh (7) buah sekolah baharu, antaranya termasuklah SK Paya Dusun di Terengganu, SMK Denai Alam di Selangor, SMK Nabalu di Sabah dan SMK Dudong di Sarawak. Peruntukan itu juga bagi melengkapkan sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas dengan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), selain RM15 juta untuk menyokong usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan kelas pemulihan untuk anak-anak yang masih tercicir dalam pembelajaran.
  2. KPM juga menerima peruntukan RM777 juta berbanding dengan RM625 juta pada tahun lepas, untuk menyediakan makanan berkhasiat di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang memanfaatkan 700 000 murid. Selain itu, RM108 juta pula diperuntukkan untuk Program Makanan Prasekolah di bawah KPM yang akan memanfaatkan lebih 240 000 orang murid. KPM juga akan membuat pemantauan ke atas penyedia makanan dalam memastikan makanan yang disediakan adalah berkualiti dan berkhasiat. KPM komited untuk mengatasi isu kemiskinan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak sekolah melalui program-program ini.
  3. Selari dengan arus pemodenan, keperluan pengajaran dan pembelajaran guru perlu segera beradaptasi dengan teknologi digital. Maka, bagi tahun 2023, kerajaan juga akan membekalkan sekolah dan institusi pendidikan KPM dengan 50 000 buah komputer riba. Hal ini selaras dengan teras ke-7 KPM dalam meningkatkan keupayaan digital di sekolah.
  4. Bagi memupuk perpaduan di samping mengangkat peranan ibu bapa, komuniti dan NGO dalam pembangunan anak-anak di sekolah, RM20 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program gotong-royong di semua sekolah seluruh negara.
  5. Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM20 juta kepada tiga buah agensi bagi menggalakkan aktiviti terjemahan dan penerbitan. Dua agensi di bawah KPM ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Peruntukan yang diumumkan ini akan dapat memacu komitmen berterusan KPM untuk meningkatkan lagi kualiti infrastruktur sedia ada di sekolah-sekolah.

KPM menggalas tanggungjawab yang besar dalam memastikan setiap perbelanjaan daripada peruntukan Belanjawan 2023 dapat memberikan impak yang optimum kepada pembangunan pendidikan negara menerusi tujuh teras yang telah digariskan. Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara, Negara Sejahtera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.