1 Mac 2023, 23:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan lawatan kerja ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) pada hari ini dalam rangka kerja menambah baik proses penerbitan buku teks pada masa akan datang. Lawatan kerja tersebut diketuai oleh Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan dan turut dihadiri oleh Encik Ruslan Abdull Raffar, Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah DBP; Encik Zukari Ismail, Editor Kanan Bahagian Buku Sekolah DBP; dan beberapa orang staf bahagian tersebut. Ketibaan pihak DBP disambut oleh IPGM Cyberjaya yang diketuai oleh YBrs. Dr. Yazid Abdul Manap, Timbalan Rektor Pusat Pembangunan Latihan dan pegawai-pegawai IPGM.

Perbincangan antara pihak DBP dengan pihak IPGM Cyberjaya.

Menerusi lawatan kerja tersebut, pelbagai perkara dibincangkan oleh kedua-dua pihak terutamanya berkaitan dengan program kerjasama menerusi penulisan dan penerbitan. Antara cadangan yang dikemukakan ialah penganjuran bengkel penataran buku teks masa hadapan kepada pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara termasuklah di Sabah dan di Sarawak. Bengkel tersebut bertujuan untuk mencari penulis dan penilai buku teks bercetak dan buku teks digital masa hadapan  termasuklah buku teks Sejarah, Bahasa Iban, dan Bahasa Kadazandusun.

Menurut Tuan Haji Razali:

Sempadan fizikal tidak membataskan penulis untuk memberikan sumbangan terhadap pendidikan negara. Untuk menghasilkan buku teks yang baik, guru-guru yang mempunyai pengalaman dan berkemahiran atau penulis baharu dialu-alukan untuk hadir ke bengkel penataran yang akan diadakan bagi mendapatkan maklumat yang jelas tentang penerbitan buku teks. Selain sumbangan sebagai penulis, guru-guru yang berpengalaman juga digalakkan untuk terlibat dalam penilaian buku teks.

Dalam usaha itu, YBrs. Dr. Yazid Abdul Manap, Timbalan Rektor Pusat Pembangunan Latihan IPGM Cyberjaya menyambut baik hasrat DBP dan berusaha untuk melibatkan serta menggalakkan pegawai IPG untuk mengikuti bengkel tersebut. Hal ini demikian kerana keterlibatan pegawai IPG atau guru dalam penulisan buku teks akan memberikan nilai tambah dalam aspek kerjaya mereka. Usaha kolaborasi antara kedua-dua agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia ini juga secara tidak langsung dapat mencungkil bakat dalam kalangan warga IPG kampus seluruh Malaysia.

Penyampaian cenderamata antara Pengarah Jabatan Penerbitan DBP dengan Timbalan Rektor Pusat Pembangunan Latihan IPGM Cyberjaya.

Dalam konteks kerjasama antara DBP dengan IPGM dan IPG, usaha untuk meningkatkan pengkaryaan juga turut dibincangkan. Selaras dengan peranan DBP bagi memperkembang bakat penulisan, DBP bersedia untuk memberikan taklimat penulisan judul am dan penerbitan majalah. Usaha ini sebagai galakan kepada pegawai yang berminat untuk mengembangkan bakat mereka dalam penulisan manuskrip bagi penerbitan buku atau penulisan popular.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.