Oleh Abd Razak Osman
11 Mac 2023, 11:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) telah mengadakan Sambutan Jubli Intan 2023 secara besar-besaran di Hotel Park Avenue, Sungai Petani, Kedah semalam.

Seramai 250 orang ahli kesatuan itu dari seluruh Semenanjung Malaysia hadir dan turut mengadakan bacaan Yasin dan tahlil.

Poster Sambutan Jubli Intan KKGGLMSM.

Presiden KKGLMSM, Mustafa Kamal Husin berkata, sehingga kini, hampir 12,000 orang guru lepasan maktab di seluruh Semenanjung Malaysia telah berdaftar sebagai ahli.

“KKGLMSM ditubuhkan sejak tahun 1962 lagi,  (kesatuan ini) adalah atas kesedaran sebilangan guru-guru Maktab Latihan Harian Persekutuan Tanah Melayu waktu itu yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap perlunya suatu wadah perjuangan yang boleh membela dan memperjuangkan kebajikan guru.

“Terlalu banyak jasa dan pengorbanan pemimpin-pemimpin ini yang terus memperjuangkan nasib guru pada zamannya dan guru sekarang ini yang menerima banyak manfaat.

Antara aktiviti sempena sambutan 60 tahun itu ialah seminar, kursus kepimpinan dan forum bagi membincangkan hala tuju KKGLMSM diikuti dengan pertandingan boling.

Shafruddin Ali Hussin (kiri) sedang memotong kek Jubli Intan 2023 anjuran KKGLMSM di Hotel Park Avenue, Sungai Petani, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin ketika berucap merasmikan sambutan itu berkata, KKGLMSM banyak melaksanakan pelbagai aktiviti untuk menyelesaikan setiap masalah yang timbul dalam menjayakan Falsafah Pendidikan Negara.

Katanya, perubahan dalam bidang pendidikan terus berlaku di seluruh dunia dan kejayaan hanya mampu dicapai apabila seluruh anggota masyarakat memahami setiap perancangan dasar yang dibuat oleh kerajaan, termasuk Kementerian Pendidikan dengan penuh penelitian yang ditetapkan.

Turut hadir ialah Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat, Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Rozaini Ahmad, Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman dan Wakil Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohd Yusof Shaari.

Mustafa Kamal Husin (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Datuk Adnan Mat.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!