12 Mac 2023, 21:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan memanfaatkan sebaik-baiknya peruntukan RM20 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga merangkap Menteri Kewangan Malaysia menerusi pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023.

Dalam usaha memanfaatkan peruntukan tersebut, DBP sedang merangka mekanisme terbaik untuk memastikan peruntukan yang akan disalurkan bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh DBP, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), dan Yayasan Karyawan, malahan kepada khalayak penerbit lain yang berupaya membantu negara mengetengahkan karya terjemahan yang bermutu dan disukai ramai. Khalayak penerbit yang menghasilkan karya yang bermutu tinggi juga mendapat peluang untuk bersama-sama DBP bagi melaksanakan aktiviti ini.

Antara fokus yang akan diberikan tumpuan termasuklah penterjemahan karya asli dan karya agung dalam bahasa Melayu kepada bahasa asing dan dalam bahasa asing kepada bahasa Melayu; penerbitan karya agung dan penerbitan terpilih. Karya penulis yang berimpak tinggi dalam konteks keilmuan, falsafah dan pemikiran akan menjadi tumpuan dalam penterjemahan dan penerbitan karya demi membangunkan tamadun bangsa.

Pemerkayaan khazanah dan kepustakaan ilmu ini juga merupakan antara strategi utama dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Hal ini juga adalah selaras dengan matlamat penubuhan DBP yang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995) yang menyatakan bahawa antara objektif utama penubuhan DBP termasuklah mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk-bentuk lain karya kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa lain.

Bagi menggerakkan usaha sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan, DBP akan mengadakan perbincangan dengan ITBM dan Yayasan Karyawan dalam tempoh terdekat bagi merangka hala tuju penerbitan dan penterjemahan yang lebih terfokus demi memastikan usaha menggiatkan aktiviti penterjemahan dan penerbitan dapat dilaksanakan dengan lebih baik, terarah dan memenuhi aspirasi Malaysia MADANI. DBP tidak akan bersendirian dan sentiasa terbuka dalam mendengar pandangan pelbagai pihak untuk memastikan mekanisme terbaik dapat diambil untuk memanfaatkan RM20 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.