Oleh Suria Janib
15 Mac 2023, 22:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai – Harta intelek perlu dilindungi bagi menggalakkan kreativiti dan inovasi manusia. Jika harta ini tidak dilindungi, orang lain bebas menggunakannya dan tidak memberikan pulangan (nilai ekonomi) kepada pengkaryanya.

Pengarah/Pengasas Rimau Rights Literary Agency, Mohd. Azree Mohd Ariffin berkata,

Harta intelek ialah harta yang unik yang tidak nampak, tetapi ada. Harta intelek dalam bidang undang-undang merujuk hasil kreativiti manusia yang meliputi karya sastera, seni dan muzik; reka cipta; dan simbol, nama, imej dan reka bentuk yang digunakan dalam perniagaan termasuklah hak cipta, cap dagangan, paten dan hak-hak lain yang berkaitan.

Menurut beliau, hak cipta merupakan perlindungan yang diberikan kepada penulis, pemilik hak cipta dan pelaku tertakluk di bawah Akta Hak Cipta 1987.

Karya yang layak mendapat perlindungan harta intelek, termasuklah karya sastera (misalnya, jurnal dan novel), karya muzik, karya seni, filem, rakaman bunyi, siaran dan karya terbitan (misalnya, karya terjemahan dan karya yang diubah kepada bentuk lain).

Tambah Mohd. Azree, hak cipta juga merupakan hak pengkarya kerana mempunyai nilai ekonomi untuk mendapatkan hasilnya seperti bayaran royalti dan hak moral untuk dikreditkan namanya sebagai penulis.

“Selepas tempoh 50 tahun pengkarya meninggal dunia, karya tersebut sudah termasuk dalam domain awam. Walau bagaimanapun, hak moral pengkarya masih berterusan walaupun pengkarya meninggal dunia,” jelas beliau.

Sementara itu, Timbalan Presiden (Akademik, Penyelidikan dan Penglibatan Industri), Universiti Selangor, Prof. Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak turut membangkitkan isu plagiarisme, iaitu peniruan dan pencurian karya orang lain dengan menggunakan nama sendiri tanpa persetujuan atau kebenaran daripada orang yang memegang hak cipta karya tersebut.

Jelas beliau,

Karya yang dilindungi mestilah karya asli, ditulis, direkodkan atau didokumentasikan. Pelanggaran hak cipta yang melibatkan isu moral pengkarya asal boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Prof. Dr. Md. Sidin, Malaysia agak terlewat menyertai Konvensyen Berne yang dianggotai oleh 177 buah negara.

Dalam hal ini, Mohd. Azree berpandangan bahawa terdapat kriteria tertentu yang membenarkan seseorang itu memetik kata, paragraf atau stanza, iaitu pengkarya perlu mendapatkan izin terbit atau memberikan kredit nama kepada penulis asal. Pelangggaran hak cipta dibenarkan untuk kegunaan wajar, tidak bertujuan komersial, lebih bersifat akademik, untuk tujuan analisis atau ulasan; kesemua ini sebagai pembuktian pembelaan di mahkamah.

Bagi melindungi hak cipta, pengkarya disarankan untuk mendaftar harta intelek mereka dalam Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta dengan melayari laman web rasmi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Wacana Hak Cipta dan Harta Intelek: Aspek Perbukuan dan Perlesenan Hak Cipta yang berlangsung di Bangunan Canselori, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Penerbit USIM, Puan Hariza Mohd. Yusof yang dihadiri oleh peserta daripada pelbagai agensi penerbitan.

Peserta daripada pelbagai agensi penerbitan yang hadir ke Wacana Hak Cipta dan Harta Intelek: Aspek Perbukuan dan Perlesenan Hak Cipta yang berlangsung di Bangunan Canselori, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.