18 Mac 2023, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kluang – Agenda nasional untuk pembudayaan integriti dan antirasuah dalam kalangan masyarakat madani diperkukuh melalui Program Jelajah Prihatin Integriti (JPI). Program kerjasama antara Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeiO), Persatuan Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor (PERSAJ) dengan Yayasan Prihatin SPRM (YPS) ini adalah bagi menyantuni masyarkat yang terkesan dengan banjir di beberapa daerah di Johor, baru-baru ini.

Program tersebut turut dijayakan oleh Rakan Integriti ACeiO yang melibatkan 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Johor yang menyediakan kemudahan kenderaan dan logistik. Manakala sumbangan barangan keperluan serta makanan disumbangkan oleh rakan integriti lain yang terdiri daripada orang perseorangan, syarikat dan agensi. JPI pada kali ini turut disertai oleh sukarelawan kebajikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Juara Integriti daripada kalangan penguatkuasa PBT Johor.

Presiden ACeiO, Tuan Ahmad Sabri Mohamed (kanan) ketika memberikan ucapan dalam Program Jelajah Prihatin.

Presiden ACeiO, Tuan Ahmad Sabri Mohamed yang mengetuai JPI ketika ditemui menyatakan rasa terharu dengan komitmen dan nilai murni yang ditunjukkan oleh semua pihak bagi menjayakan program tersebut. Keprihatinan dan sokongan yang diberikan oleh semua pihak kepada mangsa bencana diharap dapat menyuntik dan menyuburkan budaya integriti bagi mengekang rasuah yang menjadi musuh negara.

Selain itu, YM Raja Abu Bakar Raja Yahya, iaitu Presiden PERSAJ ketika mengulas lanjut menyatakan kesediaan PERSAJ untuk bersama-sama dalam menjayakan program yang membantu masyarakat. Pelibatan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan komitmen PERSAJ kepada masyarakat yang turut mengukuhkan lagi jati diri dalam kalangan ahlinya untuk menghindari amalan rasuah.

Pada masa yang sama, Setiausaha YPS, Tuan Hossen Abdul Rahim menjelaskan bahawa pelibatan pihaknya adalah sebagai sayap kebajikan kepada SPRM yang turut prihatin dengan nasib yang menimpa masyarakat yang terkesan dengan bencana. Program seperti JPI ini juga turut menjadi landasan bagi membantu SPRM menyebarluaskan nilai integriti dan mesej antirasuah kepada masyarakat.

Program Jelajah Prihatin yang diadakan baru-baru ini dapat membantu masyarakat setempat yang terkesan dengan banjir, selain dapat menerapkan elemen antirasuah dalam kalangan masyarakat.

Selain membantu dan menyampaikan sumbangan kepada mereka yang terkesan dengan bencana, JPI juga menjadi wadah dalam membudayakan integriti dan amalan antirasuah dalam kalangan masyarakat setempat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.