19 Mac 2023, 21:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pasukan debat Mahallah Sumayyah UIAM menjuarai Pertandingan Debat Belia 2023 yang berlangsung di Dewan Besar, UPM pada hari ini.

Serdang –Pasukan debat Mahallah Sumayyah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjuarai Pertandingan Debat Belia antara Institusi Pengajian Tinggi 2023 “Piala Tan Sri Aishah Ghani” (DELIA 2023) setelah berjaya menewaskan pasukan Universiti Malaya (UM) di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kedua-dua pasukan membahaskan usul debat bertajuk “Dewan ini mencadangkan wakil mahasiswa perlu dilantik sebagai ahli Dewan Negara,” dan pasukan debat Mahallah Sumayyah UIAM beraksi selaku pencadang di pihak kerajaan sementara pasukan UM beraksi selaku pembangkang.

Pasukan Mahallah Sumayyah UIAM meraih hadiah piala dan wang tunai sebanyak RM1000 termasuk memenangi kategori Pendebat Terbaik, sementara pasukan debat UM mendapat tempat kedua dengan meraih piala dan wang tunai RM700.

Bagi tempat ketiga pula diraih oleh pasukan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, UPM dan pasukan Asrama Kasturi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Kedua-dua pasukan mendapat hadiah wang tunai RM400.

Anugerah Pendebat Terbaik Liga telah disandang oleh Muhammad Hakim  Nor Zamani dari UPM manakala Anugerah Pendebat Terbaik Akhir disandang oleh Saudari Nur Syahirah Balqis binti Shahrulnizam dari UIAM.

Pendebat Terbaik Liga disandang oleh Saudara Muhammad Hakim Nor Zamani dari UPM.
Pendebat Terbaik Akhir disandang oleh Saudari Nur Syahirah Balqis Shahrulnizam dari UIAM.
Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah, Pengerusi Jemaah Pengetua UPM merasmikan Majlis Penutupan Debat Belia 2023.

Majlis perasmian penutupan disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Amini Amir bin Abdullah, Pengerusi Jemaah Pengetua, UPM.

Turut hadir ialah Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Shukri Muhammad Noor, Pengetua Kolej Tan Sri Aishah Ghani dan Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sebanyak 26 pasukan dari pelbagai institusi pengajian tinggi Malaysia telah menyertai program anjuran Sekretariat Akademik dan Sahsiah, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Aishah Ghani Sesi 2022/2023, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Kolej Tan Sri Aishah Ghani, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Kelab Debat Bahasa Melayu (KDBM) UPM dan DBP.

Mengulas lebih lanjut berkaitan dengan pertandingan yang berlangsung dari 17 hingga 19 Mac 2023, tujuan utama dilaksanakan adalah untuk melahirkan modal insan yang memiliki pemikiran yang kritis dan berupaya menjana idea yang bernas dan relevan, di samping membentuk golongan mahasiswa yang berpengaruh dan berkepimpinan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.