20 Mac 2023, 07:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Arau – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah buat pasukan woodball negeri Perlis yang berjaya merangkul majoriti johan dalam Kejohanan Woodball Terbuka Pulau Pinang 2023, anjuran Persatuan Woodball Pulau Pinang yang diadakan di Vision Park, Kepala Batas bermula pada 10 hingga 13 Mac 2023. Kejohanan tersebut juga merupakan siri 1 Sirkit Woodball Kebangsaan 2023.
Baginda yang juga merupakan Penaung Diraja Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) turut bertitah agar PWNPs dapat memastikan setiap pemain woodball di negeri Perlis akan terus mengasah bakat masing-masing secara konsisten dalam mengharumkan nama negeri Perlis, bukan di peringkat negeri sahaja tetapi mampu melahirkan pemain yang berdaya saing mengharumkan nama negara kelak.
Melalui kenyataan media PWNPs, Presiden PWNPs, Datuk Kamarudin Hussin mempersembah maklumkan kepada baginda tentang kejayaan pemain woodball negeri Perlis apabila negeri tersebut berjaya merangkul johan dalam tujuh kategori daripada 14 kategori yang dipertandingkan.
Pasukan Perlis A menjadi juara untuk kategori Berpasukan Terbuka Wanita yang diwakili oleh Diyana Mohd Reffal, Nor Rinda Ramli, Asmawana Aziz dan Qistina Mohd Reffal, manakala pasukan Perlis A turut menjadi johan bagi kategori Berpasukan Terbuka Lelaki yang diwakili oleh Khairuazree Sahabudin, Azhar Abdul Wahab, Hasfizal Samad dan Mohd Fahimi Abdullah, serta naib johan pula dimenangi oleh pasukan Perlis C juga yang diwakili oleh Mohd Faizal Othman, Suhaimi Ahmad, Zulkifli Said dan Abu Hassan Adam.
Pasukan Perlis A turut mendapat tempat naib johan dalam kategori Beregu Terbuka Wanita yang terdiri daripada Qistina Mohd Reffal dan Nor Rinda Ramli, manakala untuk kategori Beregu Terbuka Lelaki pula pasukan Perlis Titan A merangkul johan yang terdiri daripada Azhar Abdul Wahab dan Hasfizal Samad serta naib johan dimenangi oleh pasukan Perlis D yang terdiri daripada Azizan Zainol dan Aznynizan Sabu@Abd Razak.
Selain itu, pemain wanita dari Perlis,iaitu Qistina Mohd Reffal turut merangkul naib johan bagi kategori Perseorangan Terbuka Wanita, manakala Khairuazree Sahabudin dari Perlis juga telah memenangi johan bagi kategori Perseorangan Terbuka Lelaki.
Bagi kategori Beregu Remaja Perempuan pula, pasukan Perlis A yang diwakili oleh Anis Humaira Jasni dan Emylen Sofea Mohd Shukri telah mendapat naib johan, dan johan untuk kategori Beregu Remaja Lelaki adalah pasukan UiTM Perlis yang diwakili oleh Muhammad Azim Shaqil Azizan dan Muhammad Aiman Haizad Ariff Fadilah.
Johan bagi kategori Perseorangan Remaja Lelaki Bawah 21 Tahun telah dimenangi oleh Muhammad Aiman Haizad Ariff Fadilah dari UiTM Perlis dan naib johan kategori sama telah dirangkul oleh Amsyar Sirhan Saifullah Saharruddin yang juga merupakan pemain remaja negeri Perlis. Nur Damia Alisya Rosmanizan dari UiTM Perlis turut menjadi johan dalam kategori Perseorangan Remaja Perempuan Bawah 15 Tahun. Pemain veteran negeri Perlis, Faridah Din berjaya mendapat kedudukan naib johan bagi kategori Veteran Wanita.
Bagi Pertandingan Master-Grand Final Sirkit Kebangsaan 2022 yang lalu, pemain negeri Perlis turut berjaya mendapat tempat, iaitu johan bagi kedudukan kategori terbuka lelaki yang dimenangi oleh Zulkifli Said dan naib johan adalah Suhaimi Ahmad. Manakala Asmawana Aziz mendapat naib johan dalam kedudukan kategori terbuka wanita. Seterusnya, johan bagi kedudukan remaja lelaki dimenangi Adam Mukhriz Azny Nizam dan naib johan adalah Amsyar Sirhan Sirhan Saifullah Saharruddin. Bagi kategori yang sama untuk remaja perempuan telah dimenangi Emylen Sofea Mohd Sukri.
Sebanyak 22 orang pemain dari negeri Perlis terdiri daripada lapan orang pemain terbuka lelaki, sembilan orang pemain terbuka wanita, tiga orang pemain remaja lelaki dan dua orang pemain remaja perempuan akan mewakili Malaysia  ke Kejohanan Woodball Malaysia Open yang bakal berlangsung pada 26 hingga 31 Julai 2023 yang bertempat di De Rhu Beach Resort, Pantai Balok, Pahang.
Foto: Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs)
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.