22 Mac 2023, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek bersama-sama 30 orang pelajar khas (kurang penglihatan) sebagai penerima awal yang mendapat sumbangan pek kembali ke sekolah di Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu (Lelaki), Jalan Raja Laut pada hari ini.

Kuala Lumpur – Sebanyak 21 000 pelajar menerima kelengkapan pakaian seragam dan peralatan sekolah sumbangan Yayasan PETRONAS bersama Yayasan Didik Negara menerusi Program Kembali ke Sekolah 2023.

Menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, sumbangan ini adalah bersempena dengan sesi persekolahan 2022/2023 yang baru bermula, selain meringankan beban kewangan keluarga pelajar terbabit dalam menyediakan keperluan persekolahan.

Program pek kembali ke sekolah akan berlangsung pada pertengahan bulan Mac hingga Mei 2023 di 16 buah negeri – YB Fadhlina Sidek.

“Melalui pek kembali ke sekolah ini, setiap pelajar menerima baucar satu set pakaian sekolah, kasut, stokin dan baju sukan.

“Pelajar juga akan menerima kit peralatan sekolah seperti beg sekolah, set alat tulis, pensel warna dan kalkulator saintifik mengikut kategori peringkat sekolah,” kata beliau dalam Majlis Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah Yayasan PETRONAS 2023 di Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu (Lelaki), Jalan Raja Laut, pagi tadi.

YB Fadhlina Sidek berkata, sektor pendidikan ini bukan milik kementerian semata-mata, namun harus disokong dan dibantu oleh ekosistem yang lebih besar, khususnya komuniti setempat.

“KPM akan memastikan peringatan dari semasa ke semasa diberikan agar tiada isu ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah.

“Perkara yang penting adalah anak-anak harus ke sekolah. Itu tumpuan kita hari ini untuk memastikan mereka semua berada dalam sistem kita,” ujarnya ketika ditemui oleh sidang media sebaik sahaja menyampaikan pek tersebut kepada 30 orang pelajar khas sebagai penerima awal sumbangan.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Dato’ Shariah Nelly Francis dan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Puan Hajah Salmah Jopri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.