22 Mac 2023, 12:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyarankan kantin sekolah kekal beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan walaupun jumlah pelajar bukan Islam tidak melebihi 10 peratus.

Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek berkata, pihak sekolah harus berbincang dengan pengusaha kantin agar tidak tutup premis bagi memastikan tiada timbul masalah berbangkit.

“Kita tidak mahu ada senario pelajar makan di dalam stor dan di tepi longkang. Jadi kita perlu menghormati agama dan budaya masing-masing.

“Mereka yang berpuasa perlu menyantuni yang tidak berpuasa dan mereka yang tidak berpuasa perlu belajar menghormati rakannya yang berpuasa,” kata beliau dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah Yayasan PETRONAS 2023 di Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu (Lelaki), Jalan Raja Laut, hari ini.

Tambah beliau, “Saya yakin bukan hanya pelajar bukan Islam, tetapi ada juga pelajar yang beragama Islam yang belum wajib berpuasa atau tidak ada kekuatan melainkan ingin belajar berpuasa. Jadi jangan risau soal pembukaan operasi kantin.

“Ini adalah kerajaan Madani, kerajaan insklusif yang bermaksud kedua-dua pihak perlu saling hormat-menghormati.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.