25 Mac 2023, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan majlis menandatangani watikah-watikah penghargaan kepada para panelis yang terlibat dalam webinar Yayasan Tunku Fauziah (YTF) “Women in Search of Excellence” (WISE) yang dilaksanakan secara hibrid bertemakan “Journey to The Top” anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) baru-baru ini.

Tuanku Raja Puan Muda selaku Pengerusi YTF secara khususnya menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Ketua Pengarah MARA, Datuk Sri Azhar Abdul Manaf; Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman; para penceramah serta semua pihak yang membantu secara langsung mahupun tidak langsung.

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen turut menitahkan bahawa peranan wanita dalam pendidikan semakin mencabar dibandingkan dengan waktu dahulu. Wanita zaman ini bukan sahaja perlu menggalas tugas menguruskan rumah tangga, malah memainkan peranan mustahak dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara. Jelas baginda:

Kita sedia maklum, bukan mudah mengatasi tekanan dan tuntutan tanggungjawab antara keluarga dan kerjaya. Namun kita amat berbangga akan kejayaan wanita-wanita kita di persada dunia.

“Perkembangan potensi kaum wanita dalam pendidikan juga perlu terus diberi perhatian serius. Kaum wanita telah membuktikan kebolehan mereka dalam berbagai bidang dan lapangan. Wanita sesungguhnya juga telah banyak memberikan sumbangan kepada negara dan masyarakat.

Baginda turut bertitah memaklumkan bahawa Kementerian Perpaduan Negara akan menjayakan webinar bulanan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF)  “Women in Search of Excellence (WISE)” edisi ke-19 pada Selasa, 28 Mac 2023.

Webinar tersebut akan dihoskan oleh kementerian berkenaan melalui Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) dengan kerjasama Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan topik yang amat menarik, iaitu “Aspirasi Wanita ke arah Memartabatkan Perpaduan dalam Kalangan Mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi”.

(Foto : Yayasan Tuanku Fauziah)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.