Oleh Abd Razak Osman
25 Mac 2023, 13:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Sebanyak tujuh persatuan belia di negeri Kedah menerima sijil penarafan lima bintang setelah diperkenalkan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dataran Bandar Alor Setar, Kedah semalam.

Penyerahan sijil tersebut diadakan bersempena Program Belia Madani Rakan Muda Imarah Ramadan 1444H @ Alor Setar anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Kedah.

Pengarah Belia dan Sukan Negeri Kedah, Mohd Nizam Ismail berkata, program ini dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif awal ke arah mengukur status keaktifan pertubuhan belia di negara ini berasaskan penilaian komprehensif.

Menurutnya, persatuan belia yang dinilai akan diberikan penarafan bintang mengikut tahap pencapaian masing-masing. Kedah merupakan negeri yang paling banyak menerima sijil penarafan lima bintang bagi tahun ini, iaitu sebanyak tujuh persatuan daripada 935 persatuan berdaftar di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Zon Utara, khususnya negeri Kedah.

Tahniah diucapkan kepada pertubuhan yang terpilih menerima sijil penarafan lima bintang itu.

Tahniah juga kepada pihak-pihak lain kerana memberikan kerjasama dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah setelah bertungkus lumus membimbing persatuan tersebut ke arah mencapai prestasi terbaik bagi tahun ini.

Antara persatuan yang menerima sijil tersebut termasuklah Majlis Belia Daerah (MBD) Langkawi, Kelab Rakan Muda (KRM) Baling, Majlis Belia Daerah (MBD) Kota Setar, Majlis Belia Daerah (MBD) Sik, Persatuan Belia Warisan Ladang Bukit Sidim, Pertubuhan Belia Hindu Cawangan Taman Kenari, Kulim dan Angkatan Belia MFLS Cawangan Negeri Kedah.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim ketika berucap di majlis penyampaian sijil penarafan lima bintang tersebut berkata, prestasi kerja yang baik akan dihargai.

Katanya, terdapat individu tertentu mengaku membuat kebaikan tetapi sebaliknya membuat kerosakan.

Jadi, kita mesti memastikan bahawa tiada golongan sebegini di sisi kita. Hal ini tanggungjawab kita bersama.

Mudah-mudahan kita dapat menjalankan tugas untuk membangunkan negara Madani bagi mensejahterakan kebahagian rakyat Malaysia.

Pengerusi Persatuan Belia Hindu Taman Kenari, Kulim, Yogapiriah a/p Arumugham menerima sijil bagi pihak persatuan.
Setiausaha Kelab Rakan Muda (KRM) Baling, Masitah Ahmad juga menerima sijil tersebut.

 

 

 

 

 

 

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Abd Aziz Abd Rahman; Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari; Pengerusi Majlis Syura Wadah Abim Negeri Kedah, Datuk Paduka Ahmad Kasim; Pegawai Perdaftar Pertubuhan Belia Malaysia, Hasnata Hasan; Yang DiPertua Abim Negeri Kedah, Azfar Abdullah; Naib Presiden Abim Pusat, Zairudin Hashim dan Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Kedah, Mohd Izzat Afifi Abdul Majid.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.