2 April 2023, 13:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat jelata, terutamanya di negeri Perlis serta semua kaum kerabat dan juga sahabat yang sama-sama mendoakan agar dikurniakan kesejahteraan dan kesembuhan segera ke atas Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang telah menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan pada tengah hari semalam.

Menerusi kenyataan Istana Arau, baginda juga turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan buat barisan pakar perubatan, kakitangan petugas kesihatan, warga kerja Hospital Putrajaya (HPj) dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan urusan rawatan dan pembedahan Tuanku Raja Perlis dapat berjalan dengan selamat, lancar dan sempurna.

DYMM Tuanku Syed Sirajuddin telah selamat menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan pada 1 April 2023. Pembedahan bermula pada pukul 12.00 tengah hari dan telah mengambil masa selama enam jam 40 minit. Baginda telah menerima pembiusan setempat (Regional Anaesthesia) sepanjang tempoh pembedahan tersebut.

Pembedahan Tuanku Raja Perlis telah dijalankan bersama-sama empat orang Pakar Perunding Ortopedik dan tiga orang Pakar Perunding Anestesia. Tuanku Syed Sirajuddin berada dalam keadaan stabil sepanjang tempoh pembedahan dan pembedahan tersebut telah selesai dengan jayanya pada pukul 6.40 petang.

Turut sama berada di hospital pada malam semalam ialah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Datuk Sri Haji Dr. Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Pengarah (Endokrin) Hospital Putrajaya, Dr. Mohammad Khairol Anwar Yusop.

Menurut Dr. Noor Hisham, buat masa ini, Tuanku Raja Perlis berada dalam keadaan stabil dan terkawal. Namun begitu, baginda Tuanku masih di dalam pemerhatian rapi oleh pakar perubatan yang telah ditugaskan.

Ketika pembedahan dijalankan, Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dan Tuanku Pemangku Raja yang juga merupakan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berada di Hospital Putrajaya.

Tuanku Pemangku Raja Perlis bertitah mendoakan agar negeri dan rakyat Perlis yang tercinta akan sentiasa terpelihara daripada segala bahaya dan dikurniakan kemakmuran berpanjangan.

Seluruh rakyat juga dipohon agar terus mendoakan kesembuhan buat Tuanku Raja Perlis, berkekalan di bawah pemeliharaan dan jagaan Allah SWT.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.