2 Mei 2023, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Perasmian Majlis Prapelancaran PBAKL 2023 disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr. Ahmad Rafee Che Kassim (mewakili Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek) di The Barn, Cyberjaya, hari ini.

Cyberjaya – Dengan 10 elemen keterujaan yang ditawarkan, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 mensasarkan lebih daripada 1.3 juta pengunjung dengan menyediakan 811 reruai yang disertakan oleh 138 pempamer.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr. Ahmad Rafee Che Kassim berkata bahawa kehadiran pengunjung boleh melebihi sasaran jangkaan apabila pesta buku pada kali ini dilakukan secara hibrid buat kali kedua bersama-sama platform e-dagang.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr. Ahmad Rafee Che Kassim.

Antara keterujaan PBAKL 2023 kali ke-40 ini, termasuklah penyertaan negara China sebagai Negara Tamu, Sarawak sebagai Negeri Tamu dan Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai Kementerian Tamu.”

“Budaya membaca merupakan satu kemestian kepada pembangunan masyarakat MADANI yang berpengetahuan, berbudaya dan berdaya cipta tinggi.

Setiap individu sama ada pelajar mahupun individu dewasa perlu membaca setidak-tidaknya 20 buah buku setahun bagi mengekalkan kemapanan ilmu pengetahuan serta meningkatkan pertimbangan ideologi sebagai rakyat sesebuah negara.

Demikian antara ucapan Dr. Ahmad Rafee dalam Majlis Prapelancaran PBAKL 2023 dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Industri Perbukuan 2023 di The Barn, Cyberjaya pada pagi tadi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2023, Encik Mohd. Khair Ngadiron menyatakan bahawa sasaran program ini adalah untuk merealisasikan aspirasi pendekmorasian akses perbukuan yang didukungi oleh inisiatif pendigitalan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2023, Encik Mohd. Khair Ngadiron.

Selain keterujaan yang ditampilkan, kerjasama penganjur dengan Syarikat TikTok dalam menggalakkan budaya membaca rakyat dilihat sebagai sebuah ikhtiar yang sangat baik dan mengikut trend.

Pada masa yang sama ketika sidang media tersebut, Dr. Ahmad Rafee menyatakan bahawa Pertandingan Resensi Buku di TikTok atau BukuTok Malaysia merupakan langkah yang memberikan nafas baharu dalam mempromosikan budaya membaca, sekali gus menjadi tarikan ke PBAKL 2023.

PBAKL 2023 bekerjasama dengan TikTok Malaysia sebagai rakan media rasmi.

Menurut beliau, karyawan, pengarang, penerbit dan pemegang taruh dalam industri buku perlu mengetahui peranan masing-masing dalam usaha menyokong pertumbuhan dan memupuk kelangsungan pembinaan negara bangsa melalui budaya membaca.

Mengulas lanjut mengenai PBAKL 2023, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan usahanya yang berterusan akan menganjurkan pesta buku ini pada 26 Mei hingga 4 Jun 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Sumber foto: Khai DBP
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.