16 Mei 2023, 09:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebagaimana yang kita ketahui, tema Hari Guru tahun 2023 ialah “Guru Insani Pemangkin Generasi Madani”. Idea utama tema Hari Guru tahun ini bertujuan membangkitkan semangat dan motivasi guru bagi meningkatkan profesionalisme dalam pengajaran berlandaskan Falsafah Pendidikan Guru (FPG). Tema ini turut menekankan kesediaan guru dalam mendukung hasrat Falsafah Pendidikan Guru (FPG) dengan memfokuskan kepada tiga perkara, iaitu jati diri dan kenegaraan, semangat dan jiwa guru serta ilmu dan kemahiran. Falsafah Pendidikan Guru (FPG) menitikberatkan bahawa pendidikan guru di Malaysia adalah untuk melahirkan guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung warisan negara, menyanjung aspirasi kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu, serta memelihara sebuah masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Oleh itu, jika diselusuri setiap kata kunci penting dalam FPG tersebut, terdapat atribut yang perlu dimiliki oleh insan yang bergelar guru.

Akhlak mulia merupakan sikap atau tingkah laku guru yang menjunjung tinggi nilai kebaikan dan kejujuran dalam kehidupan. Berakhlak mulia bermakna seseorang itu mempunyai sikap positif seperti merendah diri, jujur, bertanggungjawab, berdisiplin, sabar, menghormati perbezaan, mengambil berat terhadap orang lain dan sentiasa berusaha memperbaiki diri. Guru yang berakhlak mulia sentiasa menghormati serta mematuhi nilai-nilai moral dan etika dalam kehidupan seharian, sama ada dalam konteks peribadi mahupun sosial. Mereka sentiasa cuba membina hubungan baik dengan orang lain, menghormati antara satu sama lain dan memberi kesan positif kepada keadaan sekeliling. Dalam ekosistem pendidikan, akhlak mulia amat penting untuk dijelmakan kerana selain daripada membentuk sahsiah murid yang baik, perkara ini juga dapat membantu mereka mengembangkan kemahiran sosial dan interpersonal yang baik supaya menjadi individu yang berkualiti dan dapat memberikan sumbangan yang positif kepada masyarakat.

Pandangan progresif dan saintifik merujuk pandangan atau sikap yang cenderung melihat sesuatu perkara dari sudut progresif, iaitu mencari inovasi dan kemajuan berterusan serta sudut saintifik, iaitu menggunakan kaedah dan pengetahuan saintifik berdasarkan fakta dan bukti. Sikap progresif dan saintifik ialah sikap yang mengambil kira faktor-faktor yang berkaitan dengan perkembangan zaman dan ilmu, serta mampu menghadapi perubahan dan cabaran yang sentiasa berkembang dalam kehidupan. Dalam ekosistem pendidikan, sikap progresif dan saintifik sangat penting untuk dimiliki oleh pendidik. Hal ini kerana mereka harus sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pembelajaran dan memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada murid. Dengan pandangan yang progresif dan saintifik, para pendidik boleh mengembangkan kreativiti dan inovasi dalam menyediakan persekitaran pembelajaran serta menggunakan kaedah dan teknologi yang sesuai dalam melaksanakan pembelajaran. Selain itu, sikap progresif dan saintifik juga membolehkan warga pendidik terus memajukan diri serta meningkatkan pengetahuan dan kemahiran supaya dapat memberikan impak positif kepada pembangunan pendidikan dan masyarakat amnya.

Menjunjung warisan negara dan menyanjung aspirasi budaya negara pula merupakan sikap atau tindakan yang menunjukkan rasa hormat, penghargaan dan kesetiaan terhadap nilai, tradisi dan budaya sesebuah negara. Hal ini termasuklah bersedia untuk mengekalkan dan mengembangkan warisan dan tradisi budaya sedia ada, serta menunjukkan rasa bangga dan menghormati aspirasi budaya yang dimiliki oleh masyarakat. Sikap ini penting bagi setiap guru kerana dapat membantu mengukuhkan identiti budaya dan kebangsaan yang menjadi ciri sesebuah negara. Dengan menjunjung warisan negara dan aspirasi budaya negara, individu dapat menunjukkan rasa cinta dan bangga terhadap negaranya serta mampu mengekalkan dan mengembangkan kepelbagaian budaya yang wujud di dalamnya. Dalam ekosistem pendidikan, guru perlu memartabatkan warisan negara dan menyanjung aspirasi budaya negara kerana perkara ini merupakan sikap penting untuk diterapkan oleh murid. Melalui pendidikan, murid dapat mempelajari nilai, tradisi dan budaya yang wujud di tanah air yang tercinta serta belajar menghargai dan menjunjung warisan budaya mereka. Dengan memiliki sikap ini, murid dapat berkembang menjadi individu yang cintakan negara, menghargai dan menghormati kepelbagaian budaya yang wujud di dalamnya, serta dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Seterusnya, perkembangan individu adalah suatu proses di mana seseorang diberikan peluang dan persekitaran yang membolehkannya berkembang secara optimum, baik dari segi fizikal, intelek, emosi dan sosial. Pembangunan individu pula bertujuan membantu individu mencapai potensi secara optimum dan menjadi individu yang berdikari, kreatif dan menyumbang secara positif kepada masyarakat. Dalam ekosistem pendidikan, bagi memastikan perkembangan individu, guru menyediakan pelbagai peluang dan pengalaman yang boleh membantu murid untuk mengembangkan kemahiran dan potensi mereka secara menyeluruh. Proses ini termasuklah mengetahui, memahami, dan mengembangkan diri, baik dari segi fizikal, emosi, sosial dan intelek. Pendidikan yang berkesan seharusnya dapat menjamin perkembangan individu, iaitu dengan menyediakan peluang yang sama dan persekitaran yang kondusif untuk setiap individu berkembang mengikut potensi mereka. Hal ini boleh dilakukan dengan memberi perhatian kepada keperluan dan keunikan setiap murid, menyediakan pelbagai pengalaman pembelajaran, serta mewujudkan persekitaran yang selamat dan bersifat menyokong. Dengan menjamin perkembangan individu, pendidikan dapat membantu setiap murid untuk berkembang menjadi individu yang berdikari, mempunyai kebolehan berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif, serta mempunyai kemahiran sosial dan emosi yang baik. Dalam jangka masa panjang, perkara ini dapat membantu murid mencapai kejayaan dalam hidup dan memberikan sumbangan positif kepada masyarakat. Perkara ini selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang digubal pada tahun 1988 yang bertujuan mengembangkan potensi individu. Potensi merujuk kepada bakat dan kebolehan yang terdapat pada seseorang murid yang dianugerahkan oleh Tuhan. Bakat dan kebolehan ini merangkumi pelbagai aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani yang perlu dicungkil, dikembangkan dan dipertingkatkan. Kesemua potensi yang ada pada individu dikembangkan secara holistik, optimum dan dilaksanakan dengan mengaitkan potensi tersebut antara satu sama lain. Hal ini bertujuan melahirkan insan yang seimbang dengan berpandukan kepada Rukun Negara.

Mengekalkan masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin adalah penting untuk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Masyarakat yang bersatu padu ialah masyarakat yang mempunyai perpaduan yang tinggi. Hal ini boleh dicapai dengan menegakkan nilai-nilai perpaduan dan integriti, menghormati perbezaan budaya dan agama dan menggalakkan komunikasi yang baik antara rakyat. Masyarakat demokratik pula merujuk masyarakat yang memberi hak dan kebebasan kepada setiap rakyat untuk menyuarakan pendapat, memilih pemimpin, dan terlibat dalam proses membuat keputusan. Perkara ini boleh dicapai dengan melaksanakan sistem demokrasi yang adil dan telus, serta memberikan pendidikan dan kesedaran politik kepada rakyat. Seterusnya, masyarakat progresif ialah masyarakat yang sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup dan kemajuan sosialnya. Perkara ini boleh dicapai dengan membangunkan sumber manusia yang berkualiti, membangunkan teknologi, meningkatkan kualiti infrastruktur dan mewujudkan peluang ekonomi yang baik. Kemudian, masyarakat yang berdisiplin ialah masyarakat yang mempunyai tingkah laku dan tindakan yang teratur, tertib dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan. Hal ini boleh dicapai dengan melaksanakan sistem perundangan yang adil dan telus, memperkukuh pembangunan karakter dan memberikan pendidikan kesedaran undang-undang kepada warganegara. Dengan mengekalkan masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin, hal ini diharap dapat mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk membantu masyarakat berkembang secara optimum. Perkara ni juga dapat membantu mewujudkan masyarakat yang makmur, adil dan saksama untuk semua warganya.

Sementara itu, Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan konsep “Malaysia Madani” yang diwujudkan sebagai usaha merangka strategi tadbir urus dan pentadbiran negara secara berkesan serta menekankan pemerkasaan ekonomi dan budaya yang berteraskan nilai, etika atau moral. Salah satu konsep penting dalam konsep masyarakat madani ialah prinsip keseimbangan dan mampan. Prinsip ini menjamin keadilan untuk semua orang tanpa diskriminasi, ketidakadilan atau penindasan. Dalam prinsip keseimbangan, semua rakyat mesti dilayan secara adil dan sama rata. Hal ini bertujuan mewujudkan masyarakat yang seimbang dan mampan serta semua orang dapat hidup dalam kesejahteraan. Gagasan Madani bersifat menyeluruh berdasarkan enam tonggak utamanya, iaitu M (kemampanan), A (kesejahteraan), D (daya cipta), A (hormat), N (keyakinan) dan I (ihsan). Kemampanan merujuk kepada pengekalkan keseimbangan antara manusia dan alam semula jadi yang merupakan faktor penting untuk memajukan kualiti hidup rakyat, dan hal ini mencerminkan keunikan Malaysia. Kesejahteraan bermaksud keharmonian dan keseimbangan dalam kehidupan dan segala aspek yang terkandung dalamnya. Daya cipta pula mempunyai beberapa makna, termasuklah inovasi, kreativiti dan reka bentuk baharu. Hormat membawa maksud maruah manusia. Dalam bahasa lain, hormat juga boleh disebut sebagai adab yang berakar umbi dalam bahasa Arab. Keyakinan mempunyai hubungan yang rapat dengan tanggungjawab, iaitu komitmen moral yang berkaitan dengan dunia dan akhirat. Manakala, ihsan mempunyai maksud yang sama dengan perhatian dan kasih sayang. Madani juga menjadi dasar setiap teras bagi memperkukuh lapan keperluan dalam pembangunan negara dan salah satunya ialah pendidikan.

Sehubungan dengan itu, tema Hari Guru pada tahun ini menunjukkan betapa besarnya peranan guru dengan cara berhikmah menyantuni murid sekolah kerana mereka merupakan generasi madani yang bakal meneruskan keharmonian dan memacu kemajuan negara pada masa akan datang. Guru insani merujuk kepada guru yang sentiasa berusaha untuk memberikan inspirasi dan motivasi kepada murid dalam pembelajaran. Hal ini termasuklah pengajaran dengan cara yang menarik dan mencabar, menyediakan pengalaman pembelajaran yang berbeza, memberikan pujian dan pengiktirafan untuk pencapaian murid dan memotivasikan murid untuk mencapai matlamat akademik dan peribadi mereka. Guru juga berusaha membantu mereka untuk menjadi murid yang berdikari, kreatif dan produktif, serta membina minat dan keyakinan diri dalam diri. Hal ini boleh membantu meningkatkan hasil pembelajaran murid dan menyediakan mereka untuk masa hadapan yang berjaya. Guru insani juga berperanan sebagai fasilitator atau penggerak pembelajaran yang menekankan nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan. Sebagai seorang guru insani, seseorang guru dapat memahami keperluan dan keunikan setiap murid dan memudahkan pembelajaran inklusif dan berpusatkan murid. Mereka menggalakkan murid berkembang secara holistik, iaitu bukan sahaja dari segi pengetahuan akademik, tetapi juga dari segi karakter, kemahiran sosial dan emosi.

Generasi madani ialah generasi yang mampu memainkan peranan aktif dalam masyarakat dan negara serta mempunyai nilai moral yang baik seperti toleransi, kejujuran, dan tanggungjawab sosial. Mereka juga mampu membuat keputusan yang bijak dalam persekitaran yang kompleks dan pelbagai budaya serta berkemahiran dan berkebolehan untuk terlibat dalam masyarakat global yang semakin terhubung dan kompleks. Akhirnya, mereka komited untuk memajukan kualiti hidup masyarakat dan alam sekitar.

Cabaran besar menanti generasi madani pada masa kini untuk kemahiran yang diperlukan di alam pekerjaan pada masa akan datang. Menurut “Future of Jobs Report 2020” daripada World Economic Forum (WEF), kemahiran yang diperlukan untuk masa depan pekerjaan termasuklah kemahiran menganalisis dan penyelesaian masalah yang kompleks, pemikiran kritis dan analitikal, kreativiti, keaslian dan inisiatif, kemahiran komunikasi yang berkesan dan penguasaan teknologi dan data. Di samping itu, laporan tersebut juga menekankan kepentingan kemahiran sosial dan emosi seperti kecerdasan emosi, kerjasama dan penyelarasan dengan orang lain serta ketahanan mental dan fizikal. Kemahiran ini dianggap penting untuk mengekalkan keseimbangan dalam kehidupan profesional dan peribadi serta menggalakkan pembangunan yang mampan.

Natijahnya, generasi madani yang dilahirkan daripada ekosistem pendidikan di Malaysia merupakan harapan dan matlamat bersama kerana mereka merupakan generasi muda yang lebih responsif dan aktif dalam menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara dan komuniti global pada masa hadapan. Mereka merupakan generasi muda yang berakhlak mulia, bertolak ansur dan mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran global. Generasi madani ini mampu dihasilkan oleh guru insani yang mempunyai sifat empati, keadilan, kesaksamaan dan bertanggungjawab membantu murid memperoleh pengetahuan, kemahiran dan sikap positif untuk membentuk sahsiah yang baik serta berkembang menjadi individu yang bertanggungjawab dan berakhlak mulia, dan seterusnya memberi manfaat sesama manusia, negara dan alam sekitar.

Selamat Hari Guru, Cikgu!

Dr. Abdul Halim Abdullah, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.