16 Mei 2023, 14:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – 16 Mei merupakan tarikh keramat bagi para pendidik di seluruh Malaysia yang telah berkorban masa dan tenaga demi mendidik anak bangsa yang bakal melahirkan generasi hebat sepanjang zaman.

Bertempat di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka, Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan dengan tema Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI telah dilancarkan dengan penuh gemilang pada hari ini.

Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir bersama-sama Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Rauf Ab Rauf Yusoh bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada kali ini.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberikan ucap utama bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2023.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya berkata,

Guru-guru telah menanam sahsiah, akhlak dan budi pekerti yang mulia dalam diri saya. Dan perkara inilah yang telah melakar falsafah pendidikan Malaysia MADANI. Peranan sebagai seorang guru memang besar dalam memastikan kejayaan anak muridnya. Tugas guru tidak pernah selesai kerana kasihnya mereka kepada anak didik.

Tema Hari Guru yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysaia (KPM) pada tahun ini, iaitu Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada kemajuan dunia pendidikan pada masa ini dan pada masa hadapan.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek turut berkongsi berita gembira kepada para pendidik dengan penetapan 10 prakarsa yang akan menjaga kebajikan guru bersesuaian dengan pembentukan guru insani.

10 inisiatif dan prakarsa tersebut adalah:

  1. Penambahbaikan surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/2002: Lawatan Sekolah pada Hari Persekolahan.
  2. Peluasan sekolah Komprehensif K9 dengan pertambahan 10 buah sekolah lagi dalam usaha mengatasi isu keciciran murid khususnya di kawasan pedalaman dan orang asli.
  3. Peluasan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ke negeri Sabah.
  4. KPM bersama-sama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) terus memperkasa pengurusan pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan.
  5. Kebenaran dan kelonggaran pemakaian baju korporat rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia sewaktu bertugas.
  6. Pemansuhan kutipan sumbangan Sambutan Hari Guru.
  7. Mempertingkat peranan kumpulan Guru Insani Malaysia.
  8. Mempertingkatkan peranan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) dalam meningkatkan profesionalisme guru dan menjaga kebajikan guru.
  9. Penambahbaikan Standard Guru Malaysia 2.0.
  10. KPM dengan kerjasama rakan strategik menyediakan peluang merehatkan minda melalui Program Cuti-cuti Cikgu Mampu Milik.

Menurut beliau lagi,

Inisiatif ini tidak akan berhenti di sini demi kesejahteraan para pendidik yang mendidik anak bangsa.

Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 ini turut mengiktiraf dua tokoh pendidik yang telah berjasa sepanjang bergelar guru, iaitu YBhg. Dato’ Mazlan Mohamad sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan YBhg. Datuk Dr. Hajah Nuinda Haji Alias sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2023.

YBhg. Dato’ Mazlan Mohamad menerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan YBhg. Datuk Dr. Hajah Nuinda Haji Alias menerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2023.

“Membakar Diri Ibarat Lilin”, itulah susuk seorang guru yang sering kita kenali dalam mendidik anak bangsa dan tarikh 16 Mei telah menjadi saksi pengorbanan insan yang bergelar guru.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.