Oleh Rosalina Awang
18 Mei 2023, 12:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Bengkel Penulisan Buku Bergambar Kanak-kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) yang diadakan di PPAJ, berjaya memperkukuh kefahaman dan kemahiran menulis para peserta bengkel dalam aspek pemilihan perkataan dan ilustrasi yang bersesuaian untuk bacaan kanak-kanak berumur empat tahun hingga sembilan tahun.

Puan Zanariah Salam berkongsi ilustrasi buku bergambar kanak-kanak yang dihasilkan olehnya menggunakan teknik kolaj.

Bengkel yang diadakan pada 15 dan 16 Mei 2023 ini dibimbing oleh Puan Norhayati Daud, pengarang dan penerbit buku kanak-kanak serta pengasas kad ASK (Inovasi Pembelajaran Bahasa). Dengan menggunakan kad ASK, peserta diajar kaedah mencari idea penulisan, pembinaan ayat dan jalan cerita yang mudah dan dekat dengan kanak-kanak.

Peserta bengkel khusyuk mendengar penerangan penceramah.

Menurut Dr. Raja Zahilah Raja Mohd Radzi, Pensyarah Sains Komputer, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melahirkan rasa teruja kerana dapat menyiapkan manuskrip buku bergambar kanak-kanak dalam tempoh sehari berbengkel.

Sebagai penulis baharu, melalui penggunaan kad ASK saya dapat merangsang idea dan menulis buku cerita bergambar kanak-kanak dengan mudah.

Tambah beliau, sebelum mengikuti bengkel ini dia menghadapi sukar mencari idea dan membina ayat mudah untuk menghasilkan buku bergambar kanak-kanak. Pandangannya turut disokong oleh Puan Faizah Yusof yang juga dapat menghasilkan manuskrip buku bergambar kanak-kanak menggunakan kad ASK.

Kolaj yang dihasilkan oleh peserta bengkel.

Saya juga berasa teruja kerana bengkel kali ini banyak memberikan ilmu baharu menghasilkan buku bergambar kanak-kanak. Selalunya, jika mahu menghasilkan manuskrip sangat sukar, namun kaedah yang diajarkan oleh Puan Norhayati, semua peserta dapat menghasilkan manuskrip dengan lebih mudah.

 

Sementara itu, bengkel penulisan tersebut kali ini pihak penganjur turut mengundang pengarang dan ilustrator buku kanak-kanak, Puan Zanariah Salam. Sebagai ilustrator buku kanak-kanak, Puan Zanariah menunjukkan kaedah mudah menyediakan ilustrasi untuk buku bergambar kanak-kanak dengan menggunakan teknik lukisan kolaj. Penyediaan ilustrasi menggunakan kaedah “gunting dan tampal” dapat memberikan kaedah mudah menyediakan ilustrasi untuk buku bergambar kanak-kanak.

Menurut pelajar Praktikal Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI), Nurul Nazihah Rusli berasa teruja dapat menyediakan ilustrasi sendiri untuk manuskrip yang dihasilkan. Sebagai penulis baharu, kerisauannya menyediakan ilustrasi diselesaikan oleh pihak penganjur dengan menyediakan juga bengkel penyediaan ilustrasi mudah.

Kaedah penyediaan ilustrasi gunting dan tampal dapat memberikan idea baharu kepada pengarang buku kanak-kanak dalam menyediakan ilustrasi. Kebanyakan pengarang buku sukar mendapatkan ilustrator untuk manuskrip yang dihasilkan. Dengan kaedah ini, dapat menjimatkan kos pengarang buku kanak-kanak.

Menurutnya lagi, sungguhpun sedikit rumit, namun kepuasan yang diperoleh sungguh berbeza kerana dapat menyediakan sendiri ilustrasi yang diperlukan.

Bergambar kenangan dengan penceramah, Puan Norhayati Daud.

Bengkel ini berjaya mencapai objektif penganjuran dengan memberikan bimbingan dan panduan kepada peserta untuk menghasilkan manuskrip dan ilustrasi buku bergambar kanak-kanak yang bakal diterbitkan oleh PPAJ.

Bengkel tersebut disertai oleh 40 orang peserta yang terdiri daripada penulis sambilan, penulis tetap, pesara kerajaan, pensyarah UTM dan Universiti Teknologi Tun Hussein Onn, pensyarah dan pelajar Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI), staf DBPWS serta penggiat sastera sekitar Johor Bahru, Johor.

Bengkel berakhir dengan majlis penyampaian sijil kepada peserta yang disempurnakan oleh Pengarah PPAJ, YM Ungku Hajah Noorakmal Ungku Sulaiman, diiringi oleh Timbalan Pengarah (Sastera) DBPWS, Puan Azura Mohd Halid.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.