21 Mei 2023, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pemangku Raja Perlis merasmikan Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra, semalam.

Pauh Putra – Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 peringkat negeri Perlis yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra, semalam.

Keberangkatan tiba Baginda ke program yang dianjurkan melalui kerjasama CyberSecurity Malaysia, CelcomDigi, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Gabungan Banteras Anti-Scam dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tersebut disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, Jeneral Tan Sri Datuk Seri (Dr.) Zulkifeli Mohd. Zin (Bersara).

Pemangku Raja Perlis bertitah dalam Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 peringkat negeri Perlis, semalam.

Titah Pemangku Raja Perlis,

Jenayah siber kini semakin berleluasa dan menjadi serius, di mana penjenayah turut mengambil peluang atas perkembangan teknologi yang sama dengan meningkatkan keupayaan dan pengetahuan mereka untuk melakukan ancaman dan serangan siber.

Untuk rekod, Perlis merupakan negeri kedua yang melangsungkan program ini dan Jelajah Anti-Scam Kebangsaan ini telah dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pada 18 Mei 2023 di Petaling Jaya.

Pemangku Raja Perlis bergambar kenang-kenangan bersama-sama tetamu kehormat dan hadirin di Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023, Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yakin program ini mampu memberi dimensi baharu kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan masyarakat negeri Perlis khususnya, terutama bagi peserta yang hadir pada program berkenaan.

Tuanku Pemangku Raja juga berharap agar segala ilmu dan informasi yang diperoleh melalui forum tersebut sebaiknya dikongsi bersama ahli keluarga dan rakan taulan untuk sama-sama mengelak daripada menjadi mangsa scammer atau penipuan.

Sebelum itu, Jeneral Tan Sri Datuk Seri (Dr.) Zulkifeli Mohd. Zin ucapan alu-aluannya menyatakan, Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 yang diadakan ini merupakan satu Prakarsa atau inisiatif yang dilaksanakan bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran pengguna Internet tentang jenayah penipuan dalam talian.

Ancaman dan serangan siber yang berlaku bukan hanya tertumpu kepada serangan terhadap syarikat dan organisasi, malah pengguna individu turut menjadi mangsa pelbagai ancaman siber, termasuk penipuan dalam talian atau scam.

Tambah beliau lagi,

Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), sehingga bulan Mac 2023 sebanyak RM250 juta nilai kerugian telah direkodkan akibat jenayah scam di Malaysia meliputi penipuan telekomunikasi, pembelian dalam talian, scam pinjaman tidak wujud dan scam pelaburan.

Penipuan dalam talian, pencerobohan dan penggodaman, ketirisan data serta kecurian identiti kini menjadi ancaman serius kepada pengguna. Usaha menangani jenayah siber perlu terus dipergiatkan dengan penglibatan pelbagai entiti bagi memastikan pendidikan dan intervensi dapat dilaksanakan secara holistik dan kolektif.

Oleh itu, semua pihak hendaklah terus menggembleng tenaga dengan mempertingkatkan pelaksanaan program kesedaran keselamatan siber bagi memberi kefahaman kepada pengguna Internet tentang jenayah scam sekali gus bersama-sama berganding bahu membanteras jenayah ini.

Pemangku Raja Perlis bergambar kenang-kenangan bersama-sama tetamu kehormat dan hadirin di Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023, Perlis.
Pemangku Raja Perlis merasmikan Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 peringkat negeri Perlis.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.