Oleh Abd Razak Osman
23 Mei 2023, 16:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Alor Setar – YBhg. Dato’ Hajah Daharah Ismail telah dipilih sebagai Tokoh Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), Kedah dalam Majlis Lestari Ingatan Semarak Kasih 2023 yang berlangsung di Hotel Star City, Alor Setar, Kedah, semalam. YBhg. Dato’ Hajah Daharah Ismail yang pernah menjadi Pengerusi LKPIM Kedah pada tahun 1984 merupakan seorang yang aktif dalam pertubahan itu sejak tahun 1970-an lagi. Penglibatan beliau dalam LKPIM bermula di daerah Yan, diikuti dengan daerah Kuala Muda, Kubang Pasu dan Baling, Kedah. Selain majlis penganugerahan tokoh tersebut, turut diadakan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-85 tahun.
YBhg. Dato’ Hajah Daharah Ismail dipilih sebagai Tokoh Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), Kedah.

Setiausaha kehormat pertubahan LKPIM, Puan Sharifah Maisarah Syed Mohamad berkata:

“banyak perkara menarik yang boleh kita dipelajari daripada tokoh berkenaan dalam membentuk peribadi menjadi insan yang mulia. Usaha yang dilakukan oleh beliau mengajar kita erti dewasa, bersemangat waja dan tidak berputus asa dalam melakukan kerja-kerja kebajikan.”
Menurutnya lagi, sikap keprihatinan YBhg. Dato’ Hajah Daharah Ismail cukup terserlah, terutamanya sewaktu menerima maklumat berkaitan musibah dan bencana yang berlaku ataupun kesusahan dan kemiskinan yang menimpa seseorang individu. Beliau sanggup turun padang dan berusaha mengumpul dana dalam kalangan ahli LKPIM, orang perseorangan, badan bukan kerajaan atau NGO dan juga syarikat korporat untuk menyalurkan sumbangan kewangan ke lokasi berkenaan.
Sebahagian daripada ahli LKPIM Kedah membuat persembahan khas untuk YBhg. Dato’ Hajah Daharah Ismail.
Puan Sharifah Maisarah menambah:
“banyak anugerah yang diterima oleh YBhg. Dato’ Hajah Daharah Ismail atas sumbangan baktinya kepada kerajaan dan negara, antaranya termasuklah Tokoh Wanita Negeri Kedah pada tahun 1985 dan Tokoh Wanita Cemerlang pada tahun 2022.”
YBhg. Dato’ Hajah Daharah Ismail bergambar bersama-sama ahli jawatankuasa Majlis Lestari Ingatan Semarak Kasih.
Sebanyak 300 orang ahli LKPIM Kedah hadir dalam majlis tersebut dan ada di antaranya membuat persembahan khas untuk YBhg. Dato’ Hajah Daharah Ismail. Turut hadir sama dalam majlis tersebut ialah Yang Maha Mulia (YMM) Che Puan Besar Tuanku Hajah Haminah Hamidun, Yang Teramat Mulia (YTM) Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Tunku Temenggong Kedah), Yang Teramat Mulia (YTM) Datin Paduka Dato’ Tunku Hajah Nafisah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Yang Teramat Mulia (YTM) Datin Hajah Tunku Munirah Dato’ Paduka Abdul Aziz.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.