Oleh Yusaida Yusof
27 Mei 2023, 18:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat terutamanya generasi muda agar memupuk dan mewujudkan budaya membaca yang bersungguh-sungguh dalam diri serta menjadikannya sebagai ikrar dan janji kepada negara.

Menurut beliau, negara Malaysia harus diangkat sebagai negara MADANI yang perlu diterapkan dengan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat. Sehubungan dengan itu, tradisi membaca mestilah diikuti dengan kekuatan ilmu yang perlu diberikan penekanan dari peringkat awal persekolahan.

Tegas beliau, anak muda perlu bangkit dengan ilmu untuk menjadi manusia yang unggul seperti dalam teras pertama Malaysia MADANI, iaitu kemampanan yang menekankan perihal mutu hidup yang seimbang berdasarkan citra Malaysia yang unik berasaskan ilmu pengetahuan.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 yang berlangsung pada pukul 2.30 petang tadi di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. PBAKL pada kali ini berlangsung pada 26 Mei 2023 hingga 4 Jun 2023.

“Saya berasa gembira kerana PBAKL yang diadakan pada tahun ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penyertaan 211 syarikat dan penerbit dari dalam dan luar negara.”

“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada negara China atas kesiagaan negara tersebut menjadi negara tamu bagi penganjuran PBAKL pada tahun ini.”

“Anak muda perlu memupuk semangat membaca dalam diri demi menjadi manusia yang unggul.” – YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Gimik pelancaran Majlis Perasmian PBAKL 2023.

Sementara itu, Majlis Perasmian PBAKL 2023 turut diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh YBrs. Encik Mohd Khair Ngadiron (Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL), ucapan Negara Tamu oleh YBrs. Encik Zhang Jianchun (Timbalan Menteri, Jabatan Publisiti Jawatankuasa Pusat CPC, Republik Rakyat China), persembahan kesenian, bicara berirama dan gimik pelancaran PBAKL 2023.

Foto: Mohamad Adib Zulkifli

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.