28 Mei 2023, 20:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Kuiz Bahasa dan Sastera DBP-GEGAR yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 pada hari ini bukan sahaja bertujuan menyebarluaskan bahasa dan sastera kepada masyarakat secara langsung, malah mempromosikan Pertandingan Cerita Buku GEGAR Pagi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Radio Gegar (GEGAR) bagi menggalakkan masyarakat membaca sambil berpeluang memenangi baucar buku terbitan DBP bernilaI RM150.

Penyertaan untuk Pertandingan Cerita Buku GEGAR Pagi yang bermula pada 28 Mei 2023 hingga 1 Jun 2023 melalui siaran radio GEGAR adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia kecuali kakitangan dan ahli keluarga terdekat DBP dan GEGAR.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd. Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed.

“Pertandingan tersebut adalah satu daripada program untuk menggalakkan masyarakat membaca, membuka minda, memberikan ilmu dan sebagai pengenalan kepada masyarakat tentang kehidupan serta baucar buku yang disediakan menjadi satu daya penarik kepada masyarakat untuk membaca buku,” kata Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd. Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed dalam program tersebut.

Menurut beliau, DBP bukan sahaja menerbitkan buku, malah banyak melakukan aktiviti untuk menarik perhatian golongan muda menggunakan bahasa Melayu dengan betul, misalnya menerusi Festival Bahasa dan Sastera, Pertandingan Ekspresi Muzik Jalanan serta melaksanakan program bahasa dan sastera di setiap negeri.

Festival Bahasa dan Sastera di Terengganu juga akan dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat bagi mencapai matlamat DBP dalam menyebarluaskan bahasa dan sastera.

Pengurus Kandungan Radio Gegar, Puan Raja Nadia Salwana.

Sementara itu, menjawab persoalan sasaran utama yang ingin dicapai oleh GEGAR setelah sekian lama bekerjasama dengan DBP sejak tahun 2019, Pengurus Kandungan Radio Gegar, Puan Raja Nadia Salwana menyatakan bahawa pihaknya mengadakan program seperti segmen dialek, bercerita tentang hikayat, pertandingan berkenaan dengan istilah semasa dan peribahasa yang kesemuanya menggunakan bahan rujukan terbitan DBP adalah bagi mengajar masyarakat menggunakan bahasa Melayu dengan betul di samping berhibur.

Tambah beliau, pendengar GEGAR boleh menyertai pertandingan tersebut dengan melayari frekuensi GEGAR di saluran 88.1 (Kelantan), saluran 106.8 (Terengganu), saluran 88.8 (Pahang) dan bagi pendengar yang berada di luar daripada ketiga-tiga kawasan ini boleh melayari Astro saluran 863 atau menggunakan aplikasi Syok.

Penganjur  akan  memilih  masa  dalam  slot  siaran  GEGAR bermula pukul 7.00 pagi bagi memberikan peluang kepada pendengar GEGAR menjadi pemanggil terpantas melalui talian 03-95439969 dan berkongsikan cerita tentang buku yang pernah dibaca dalam kehidupan, seterusnya penganjur akan memilih pemenang untuk memenangi baucar buku terbitan DBP bernilai RM150 yang juga boleh digunakan sepanjang PBAKL 2023 berlangsung.

Pengunjung PBAKL 2023 yang bersama-sama menjayakan program Kuiz Bahasa dan Sastera DBP-GEGAR.

Pada masa yang sama, program Kuiz Bahasa dan Sastera DBP-GEGAR yang dikendalikan oleh penyampai radio GEGAR, iaitu Encik Shah Muhammad dan Encik Aswad Jalil memberikan peluang kepada para pengunjung menyertai kuiz berkaitan dengan bahasa dan sastera seperti mengenali sasterawan negara, mengenal pasti istilah dalam bahasa Melayu dan menjawab pantun teka-teki yang diberikan dengan tepat.

Program Kuiz Bahasa dan Sastera DBP-GEGAR turut diadakan di reruai DBP bagi mempromosikan DBP sebagai satu daripada pempamer di PBAKL 2023.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP, Encik Abdul Ghani Abu dan para pengunjung PBAKL 2023.

Persembahan dikir barat yang menyerikan program Kuiz Bahasa dan Sastera DBP-GEGAR.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.