Oleh Hasni Jamali
29 Mei 2023, 08:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023, Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melaksanakan Program Seronoknya Membaca di Reruai DBP, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, semalam.

Kehadiran maskot Riri menyerikan program dalam menyantuni pengunjung program Seronoknya Membaca.

Sesi Ceritalah Lagi! telah membuka tirai program Seronoknya Membaca dengan persembahan cerita oleh Mama Filzah. Buku Alang Pipi Merah yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2000 telah menjadi pilihan Mama Filzah untuk menyampaikan ceritanya kepada pengunjung yang terdiri dalam kalangan kanak-kanak yang hadir bersama-sama ibu bapa dan guru pengiring.

Sesi Kuiz Bahasa dan Sastera turut diadakan bagi menguji kepintaran kanak-kanak berkaitan dengan bahasa dan persuratan Melayu. Kuiz Teka Peribahasa, Eja dengan Betul, Bina Kata dan Teka Silang Kata dilaksanakan dalam bentuk didik hibur dengan memberikan buku sebagai hadiah galakan kepada kanak-kanak yang menjawab dengan betul.

Sesi kuiz Eja dengan Betul mendapat sambutan dalam kalangan kanak-kanak yang hadir.

Program Seronoknya Membaca ini disiarkan secara langsung menerusi pelantar media sosial DBP, seperti Facebook dan YouTube bagi menyebarluaskan lagi siaran ini agar dapat ditonton oleh pelayar setia media sosial DBP.

Kehadiran kanak-kanak dari Krista, Rumah Kebajikan dan Anak Yatim Darul Najjah, Rumah Titian Kasih dan Akademi Tahfiz al-Hidayah menyerikan lagi program Seronoknya Membaca dengan menampilkan keyakinan dan jati diri kanak-kanak ini menyertai setiap kuiz yang diajukan kepada mereka. Program ini memberikan daya tarik kepada khalayak pengunjung khususnya kanak-kanak dalam memperlihatkan kesungguhan mereka menghayati nilai dan ketinggian budi yang dipelajari melalui aktiviti pembacaan.

Puan Filzah Ibrahim atau Mama Filzah, Perancang Bahasa dari Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak menyampaikan persembahan cerita dalam sesi Ceritalah Lagi!
Sebahagian peserta yang hadir dalam Program Seronoknya Membaca merakamkan gambar foto sebagai tanda kenangan.

 

Riri turut bernyanyi dengan kanak-kanak yang hadir.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.