30 Mei 2023, 17:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Malaysia dan Australia mempunyai hubungan diplomasi yang erat dalam pelbagai bidang, antaranya termasuklah sukan, inovasi, sains dan teknologi. Menyedari kepentingan untuk memperkukuh ikatan dilpomasi antara kedua-dua buah negara, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, telah menganjurkan syarahan umum antarabangsa yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Dr. Justin Lee, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia. Syarahan umum yang bertajuk Firm Friends, Ready for the Future ini diadakan di Dewan Kuliah enam, UiTM Cawangan Perlis, dan dihadiri oleh ketua-ketua jabatan dari Kerajaan Negeri Perlis dan warga UiTM Cawangan Perlis.

UiTM Cawangan Perlis, telah menganjurkan syarahan umum antarabangsa bertajuk Firm Friends, Ready for the Future di Dewan Kuliah enam, UiTM Cawangan Perlis.

Dalam syarahan tersebut, TYT Dr. Justin Lee turut mengadakan perkongsian pengalaman sepanjang berkhidmat di Kedutaan Australia. Beliau juga menyatakan kesediaan untuk menerima lebih banyak lagi pelajar, penyelidik, pensyarah dan ahli akademik serta mengalu-alukan pelajar UiTM untuk melanjutkan pelajaran ke Australia.

YBrs. Prof. Dr. Shahriman Zainal Abidin, Penolong Naib Canselor Pengantarabangsaan (UiTM Global) ketika menyampaikan ucapan alu-aluan mewakili Naib Canselor UiTM.

Dalam pada itu, YBrs. Prof. Dr. Shahriman Zainal Abidin, Penolong Naib Canselor Pengantarabangsaan (UiTM Global) mewakili Naib Canselor UiTM, menyatakan bahawa:

UiTM sentiasa menyokong kepentingan untuk mengukuhkan ikatan kolaborasi dan persefahaman antara Malaysia dengan Australia, terutamanya dalam konteks pengajian tinggi yang melibatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan pertukaran staf dan pelajar.

Tambah beliau, melalui program syarahan umum yang dianjurkan ini dapat menunjukkan komitmen UiTM dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara.

Menurutnya lagi:

UiTM juga mengalu-alukan kerjasama seperti ini bagi memastikan kredibiliti serta daya saing program di universiti dapat dipertingkatkan lagi, sekali gus melonjakkan kadar kebolehpasaran graduan.

 

Para hadirin mengambil peluang bergambar bersama-sama TYT Dr. Justin Lee pada akhir sesi.

Turut hadir sama dalam syarahan umum ini ialah, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Cawangan Perlis; YBrs. Dr. Faizal Kamarudin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan); wakil institusi dan agensi Kerajaan Negeri Perlis, ketua-ketua unit dan fakulti, staf serta pelajar UiTM Cawangan Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.