Oleh Ruzaini Ijon
31 Mei 2023, 22:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok – Aktiviti kesukarelawanan telah wujud dalam kalangan masyarakat di negara kita.  Amalan murni seperti ini wajar disuburkan dalam kalangan masyarakat. Inilah antara hasrat yang ingin dicapai melalui Kelab Penyayang yang ditubuhkan di institut pengajian tinggi (IPT) seperti di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang memberikan tumpuan terhadap kanak-kanak autisme khususnya pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak.

Kumpulan kanak-kanak ini  dibawa melawat Ladang Pengajar dan Keusahawanan Veterinar bagi mengenali haiwan ternakan.

Saban tahun, terdapat sejumlah kanak-kanak dikesan menghidapi autisme khususnya dalam negeri Kelantan berdasarkan penilaian yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan seperti Persatuan Autisme Kelantan.

Kanak-kanak autisme memerlukan penjagaan dan kaedah didikan khas, antaranya bagi menerapkan kemahiran asas pengurusan diri pada awal perkembangan mereka. Selain khidmat jagaan, Pusat Jagaan Autisme Kelantan (KACC) turut menjalankan terapi bagi membantu kanak-kanak ini mengawal simptom autisme mereka.

Kelab Penyayang UMK mengorak langkah dengan menjalinkan kerjasama pintar dengan komuniti yang memberikan manfaat bersama. Hal ini dapat dilihat melalui penganjuran program Kelantan Autism Children’s Nature Adventure yang melibatkan kerjasama antara KACC dengan  ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd.

Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada kanak-kanak autisme mengenai alam semula jadi. “Pengembaraan” berbentuk terapi ini membolehkan kanak-kanak ini mengenali haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.

Pelaksanaan siri satu diadakan di UMK Kampus Bachok dan melibatkan sebanyak 13 orang kanak-kanak daripada KACC. Kumpulan kanak-kanak ini  dibawa melawat Ladang Pengajar dan Keusahawanan Veterinar bagi mengenali haiwan ternakan seperti kuda, rusa, lembu dan kambing.

Mereka berpeluang merasai sendiri pengalaman melihat sendiri ladang dan memberi makan haiwan ternakan. Kumpulan kanak-kanak ini seterusnya dibawa merentas hutan yang terletak di dalam Creative-Techno-Park.

Aktiviti kesukarelawanan yang diadakan tersebut dapat menerapkan perasaan cinta akan semula jadi dalam kalangan kanak-kanak autisme tersebut.

Program siri satu ini menerima kehadiran wakil ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd. iaitu Timbalan Pengurus Besar, Puan Wong Pui Li  dan  Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Puan Nur Iznie Mazzuana binti Zakaria . KACC pula diwakili oleh Pengarah KACC, Encik Shafrry bin Mohd Sarif,  Encik Muhamad Faiz bin Rosli (pentadbir) dan lima orang guru.

Kelab Penyayang UMK diwakili oleh Profesor Madya Dr. Yohan Kurniawan (penyelaras program), Encik Ruzaini bin Ijon (penasihat kelab) dan 10 orang sukarelawan. Pengarah Creative-Techno-Park, Encik Mohd Aswawi bin Isa juga telah meluangkan masa meninjau pelaksanaan program ini.  Program ini turut melibatkan 9 orang pelajar daripada Universiti Brunei Darussalam yang sedang menjalani program mobiliti tidak berkredit di UMK.

Siri kedua program ini akan melibatkan kawasan pantai iaitu Pantai Senok yang terletak dalam Daerah Bachok dan dijangka akan dilaksanakan pada Oktober nanti. Pelaksanaan program seperti ini memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan ahli Kelab Penyayang UMK. Pihak KACC mendapat manfaat berbentuk sokongan sukarelawan yang dapat melancarkan operasi seharian mereka.

Keprihatinan syarikat korporat seperti ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd dapat memupuk kepentingan tanggungjawab sosial korporat dalam kalangan masyarakat terutamanya sukarelawan Kelab Penyayang UMK.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.