22 Ogos 2023, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Shah Alam – Setelah sedekad berlalu sejak Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 dilancarkan, kejayaan demi kejayaan telah diraih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meskipun pelbagai cabaran mendatang.

Kejayaan demi kejayaan telah diraih sepanjang tempoh sedekad PPPM 2013 – 2025 diperkenalkan.

Meskipun PPPM dilancarkan pada tahun 2013, namun terdapat pelbagai penambahbaikan serta perubahan proses kerja dan fokus utama telah dilakukan disebabkan arus perubahan sistem pendidikan, terutamanya selepas COVID-19 melanda seluruh dunia.

Sebagai bukti komitmen sedekad ke arah reformasi pendidikan, Laporan Tahunan 2022 PPPM 2013 – 2025 menandakan pencapaian penting sebagai laporan kesepuluh sejak pelaksanaannya.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkata,

Terdapat lima aspirasi yang telah digarap dalam PPPM 2013 – 2025, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan yang harus menjadi diskusi dan disebarluaskan kepada masyarakat awam agar dapat memberikan pandangan untuk penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara.

Tambah beliau,

Kita berbangga untuk memaklumkan bahawa setelah dua tahun berada dalam kemelut pandemik COVID-19 dan pada tahun 2022, kita telah berjaya melaksanakan PPPM mengikut landasan yang sepatutnya dan mencapai kemajuan signifikan.

YB Fadhlina Sidek berucap ketika melancarkan Laporan Tahunan 2022 PPPM 2013 – 2025 di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada pagi tadi.

Ketika mengulas tentang kejayaan enrolmen dalam prasekolah awam dan swasta, YB Fadhlina Sidek mengatakan bahawa peratusan enrolmen penyertaan kanak-kanak kohort umur 4+ (lahir tahun 2016, 2017 dan 1 Januari 2018) sebanyak 71.54 peratus pada tahun 2022 berbanding dengan 68.45 peratus pada tahun 2021, manakala kohort berusia 5+ (lahir tahun 2016, 2017 dan 1 Januari 2018) telah meningkat daripada 83.65 peratus pada tahun 2021 kepada 88.81 peratus pada tahun 2022.

“KPM juga telah berjaya meningkatkan semula peratusan enrolmen menengah atas pada tahun 2021 dan mencapai peningkatan terbaik pada tahun 2022, iaitu 89.97 peratus,” ujar beliau ketika melancarkan Laporan Tahunan 2022 PPPM 2013 – 2025 di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada pagi tadi.

Kejayaan sedekad PPPM 2013 – 2025 dapat dilihat daripada hasil kerja keras yang diberikan oleh warga KPM dan pemegang taruh bagi memastikan sistem pendidikan negara seiring dengan perubahan semasa.

Menurut YB Fadhlina Sidek, meskipun baru lapan bulan beliau memegang portfolio sebagai Menteri Pendidikan, namun beliau melihat komitmen dan kerja keras yang diberikan warga KPM dalam memastikan sistem pendidikan negara harus dihargai.

Turut hadir dalam Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2022 PPPM 2013 – 2025 ialah Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM, YBrs. Tuan Ramzi Mansor; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Dr. Ahmad Raffe Che Kassim; Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU), YBrs. Tuan Radzifuddin Nordin serta warga KPM.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.