Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Mohamad Adib Zulkifli
Putrajaya – Lafaz Rukun Negara dan laungan kata keramat “Merdeka” sebanyak tujuh kali dalam sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang berlangsung di Dataran Putrajaya pada hari ini melonjakkan keazaman rakyat dan membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia yang hidup bersatu-padu.
Rukun Negara dilafazkan oleh ikon sukan dan atlet negara, Muhammad Haikal Roslan di Dataran Putrajaya pada pagi ini.
Beliau merupakan pemenang pingat emas bagi kategori Perseorangan B-25 di Sukan Boling Asia yang juga merangkap pelajar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Bersaksikan kehadiran kira-kira 100 000 rakyat, penyampaian ikrar itu diiringi oleh 36 pelajar yang memakai busana tradisional Malaysia dari Kampus Ilmu Khas Institut Pendidikan Guru, Cheras dengan menggunakan bahasa isyarat.
Seusai ikrar dibaca, Muhammad Haikal mengetuai laungan “Merdeka” di hadapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut hadir dalam majlis sambutan ini ialah Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan YAB Dato’ Seri Fadillah Haji Yusof; Menteri Komunikasi dan Digital, Yang Berhormat (YB) Fahmi Fadzil; menteri-menteri Kabinet; diplomat dan perwakilan asing serta dif-dif kenamaan.
Bagi menyemarakkan lagi acara sambutan Hari Kebangsaan ini, nyanyian lagu Negaraku turut diadakan seiring dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, disusuli dengan 14 das tembakan kehormatan sebagai simbolik bagi mewakili 14 negeri yang dilaksanakan oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja yang diketuai oleh Lt. Kol. Mohamad Asri Che Wil.
Dengan tema Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, acara persembahan tarian dan nyanyian, serta aksi akrobatik oleh pasukan keselamatan dan perarakan juga mempamerkan konsep Malaysia MADANI.
Acara ini yang turut disiarkan secara dalam talian melibatkan 17 262 peserta, 67 kontijen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset ketenteraan negara dan 100 ekor haiwan dalam perkhidmatan awam.
Sambutan Hari Kebangsaan 2023 jelas mendukung aspirasi Kerajaan Perpaduan dalam usaha mengukuhkan semangat perpaduan tanpa mengira latar belakang bangsa dan ideologi politik.