Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIstanbul – Warganegara Malaysia yang melancong di Turkiye, terutamanya di Istanbul dinasihatkan supaya sentiasa membawa dokumen pengenalan diri yang sah dan mengemukakannya kepada pihak berkuasa Turkiye sekiranya diminta.
Mereka turut disarankan untuk mengambil insurans perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan di luar negara sekiranya ditimpa sebarang perkara yang tidak diingini.
Bagi yang memerlukan sebarang bantuan konsular ketika di Istanbul atau kawasan sekitar dengannya bolehlah berhubung dengan pihak Konsulat melalui e-mel [email protected] atau talian +90 212 989 10 01.
Demikian menurut Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul Turkiye, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir selepas menerima sumbangan bantuan Ibnu Sabil daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebanyak RM5000 daripada Raja Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, baru-baru ini.
Tambah beliau,
Bandar Istanbul, Turkiye merupakan destinasi popular pelancong Malaysia dengan jumlah sebanyak 90 ribu orang pada tahun 2022 (pascapandemik) dan 114 ribu orang pada tahun 2019 (prapandemik).
Penyerahan tersebut disempurnakan baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul di Arnavutköy ketika singgah bagi mengetuai delegasi Jelajah Ilmu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke beberapa buah negara Baltik sebagai Canselor UniMAP.
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Turut hadir ialah isteri Konsul Jeneral Malaysia, Noor Lily Mohamed Zaidel; Konsul, Mardhiah Muhamad Sabri; dan Konsul (Pentadbiran/Konsular), Lukman Sayuti.
Inisiatif Ibnu Sabil merupakan sumbangan murni oleh pihak MAIPs kepada beberapa buah Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia terpilih di luar negara untuk digunakan bagi membantu warganegara Malaysia yang mengalami masalah dan kesusahan ketika berada di perantauan.