20 September 2023, 17:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) mengadakan kunjungan hormat ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pagi ini bertempat di Bilik Tun Perak, Menara DBP.

Kunjungan hormat ini diketuai oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin selaku Pengerusi FCoEE dan disambut oleh Haji Md. Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP bersama-sama ketua bahagian dan pegawai kanan DBP yang lain.

Turut hadir sama dalam pertemuan ini ialah Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, mantan Ketua Pengarah DBP.

Dalam pertemuan tersebut, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin mengatakan bahawa FCoEE berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan DBP dalam usaha menerbitkan buku melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada anak-anak asnaf dan keluarga B40, khususnya di negeri Perlis.

Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin, Pengerusi FCoEE mengetuai kunjungan hormat ke DBP bagi jalinan kerjasama berkaitan dengan penerbitan buku berasaskan teknologi AI.

Menurut Pengerusi FCoEE itu, usaha tersebut selaras dengan objektif penubuhan FCoEE ke arah memantapkan pembangunan pendigitalan dalam sistem pendidikan di luar bandar sebagai alat bantuan proses pengajaran dan pembelajaran.

Sistem pembelajaran berasaskan AI dilihat berpotensi untuk menyediakan pengalaman pembelajaran interaktif yang efektif kepada anak-anak yang keciciran atau lemah dalam pendidikan.

Teknologi ini juga dapat membangunkan anak-anak bangsa, terutamanya golongan asnaf yang celik terhadap teknologi pada masa ini.

Antara perancangan kerjasama yang dihasratkan, termasuklah menerbitkan buku berkaitan dengan pendidikan anak-anak asnaf; menyediakan buku teks berasaskan penggunaan teknologi realiti maya (VR) pada peringkat prasekolah; dan mempergiatkan pendidikan AI seperti program robotik, simposium dan penyelidikan dengan universiti di negara serumpun.

Saya berharap agar DBP dapat menjadi satu daripada platform kerjasama dengan FCoEE dalam menerbitkan buku berunsurkan teknologi AI, seterusnya dimanfaatkan oleh orang ramai.

Sehubungan dengan itu, Haji Md. Johari Hasan memaklumkan bahawa DBP juga sedang membangunkan teknologi tersebut melalui kandungan daripada buku teks sekolah.

Haji Md. Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP.

Tambah beliau, alatan pembelajaran digital ini mampu memartabatkan penerbitan berbahasa Melayu, selain memberikan pengalaman yang baharu kepada murid di sekolah.

Perkara ini wajar diusahakan bersama-sama dalam memenuhi keperluan semasa, di samping menyokong bahan sokongan pembelajaran pada masa depan.

DBP boleh membantu FCoEE dalam menyediakan kandungan buku yang berkualiti untuk dipasarankan. Penerbitan DBP sangat mengawal ketat dari segi bahasa, gaya bahasa dan kandungannya.

Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, mantan Ketua Pengarah DBP.

Sementara itu, selaku mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin turut berpendapat bahawa DBP perlu komited membangunkan teknologi AI dalam penerbitan buku agar DBP terus maju seiring dengan perkembangan era dunia digital.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.