25 September 2023, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar –  “Antara ciri-ciri masyarakat yang memiliki mentaliti kelas pertama dalam segala tindakan ialah mereka yang memahami peranan penting berfikir dalam meningkatkan kualiti hidup masing-masing; memahami hubungan yang dalam antara pemikiran, perasaan dan kehendak; serta selalu mengawasi setiap tindakan berasaskan pemikiran, perasaan dan kehendak. Dalam mengambil tindakan, pelbagai strategi yang efektif digunakan.”

DYTM Raja Muda Perlis berkenan mencemar duli menyertai Program Kayuhan Program Kayuhan MAIPs Peduli bilangan ke-56.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Kayuhan MAIPs Peduli bilangan ke-56 bagi tahun 2023 yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Nurul Iman, Kurong Batang Nesam, Kangar, semalam. Baginda turut bertitah:

 

Mereka wajar mengkritik sendiri perancangan mereka bagi tujuan penambahbaikan; sentiasa komited terhadap integriti; sensitif terhadap ketidakkonsistenan dan percanggahan dalam hidup; mempunyai empati intelektual atau merasa apa yang orang lain rasa; serta menguasai asas-asas pemikiran, berfikiran kritikal, berfikir secara mendalam serta menyelesaikan masalah secara logik.

Selain itu, mereka aktif menganalisis pemikiran daripada segenap sudut tetapi pada masa yang sama membina kesedaran terhadap sebarang kesalahan sendiri.

Program kali ini melibatkan tiga orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Kurong Batang dan masing-masing menerima sumbangan daripada Baginda.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyantuni golongan asnaf.

Penerima pertama ialah Mahabu Jaya, 66 tahun dari Kampung Nesam; penerima kedua ialah Rahmah Md Saman, 74 tahun dari Kampung Baru Syed Omar; dan penerima ketiga ialah Yusoff Nopiah, 62 tahun dari Kampung Kurong Batang.

Jumlah penuh yang disumbangkan oleh pihak MAIPs pada kali ini adalah sebanyak RM2100.00.

 

Sempena program tersebut juga DYTM Tuanku Raja Muda turut berkenan singgah meninjau inap desa The Green Hill Homestay di Lot 20015, Jalan Sungai Batu Pahat, Kampung Syed Omar, Kangar yang telah mula beroperasi sejak tiga bulan yang lalu. Inap desa tersebut diusahakan oleh Encik Hairulanuar Che Amla dan isterinya, Puan Norshuhadah Mahazir.

Rombongan baginda DYTM Raja Muda Perlis bergambar kenang-kenangan di inap desa The Green Hill Homestay.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.