27 September 2023, 16:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Kejayaan dalam bidang akademik akan menentukan kerjaya pada masa depan namun kecemerlangan akademik sahaja tidak memadai andai akhlak tidak dijaga.

Usaha melahirkan bakal pemimpin negara perlu dimulakan dengan curahan pelbagai bidang ilmu pengetahuan di samping pembentukan sahsiah terpuji dan mengaplikasikan nilai positif dalam kehidupan kesan daripada segala ilmu yang telah dipelajari.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Peringkat  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, Kangar hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Cikgu Naharudeen Othman dan Pengetua SMK Derma , Puan Haliah Othman.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bergambar kenangan bersama-sama warga SMK Derma.

SMK Derma aktif meraih pelbagai pencapaian yang membanggakan dalam bidang akademik dan kokurikulum seperti menjadi johan dalam Pertandingan Bahas Ala Parlimen, naib johan dalam Pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan 2023 dan menggondol pingat emas dalam acara memanah pada peringkat kebangsaan dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Pengerusi YTSP Perlis turut berkenan merasmikan laluan “Face Of Excellence” di sekolah ini yang memaparkan kejayaan bekas pelajar SMK Derma sebagai inspirasi dan motivasi kepada murid sekolah ini.

Laluan “Faces Of Excellence” yang memaparkan kisah kejayaan alumni SMK Derma dibina untuk memberikan inspirasi kepada murid.

Baginda yang juga merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan dari tahun 1980 hingga 1982 berharap agar para pelajar akan sentiasa menjaga nama baik diri sendiri, keluarga dan nama baik sekolah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.