Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuching – Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg menerima kunjungan hormat daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Kuching, Sarawak pada petang tadi.
Menurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, pertemuan yang diadakan pada pukul 12.30 tengah hari itu adalah untuk memaklumkan dua program yang bakal diadakan oleh DBP di Sarawak serta mengundang Premier Sarawak merasmikan program tersebut.
DBP akan mengadakan Persidangan Antarabangsa Leksikologi dan Leksikografi Borneo (PALBORNEO) 2023 menerusi pelaksanaan oleh Bahagian Perkamusan, DBP Cawangan Sabah dan DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), maka dengan sukacitanya kami berhasrat untuk mengundang YAB Datuk Patinggi untuk merasmikan seminar berkenaan pada tahun ini.
Tambah beliau, tujuan PALBORNEO 2023 diadakan untuk meningkatkan wawasan ilmiah tentang usaha penyelidikan leksikologi dan leksikografi, serta upaya pelestarian bahasa sukuan dan etnik yang terdapat di Borneo khususnya dan rantau Nusantara amnya.
Selain itu, kami juga ingin mengundang YAB Premier untuk menyempurnakan pelancaran beberapa penerbitan, khususnya projek khas, iaitu Pelancaran Kamus Melayu Sarawak – Melayu Dewan yang mempunyai kaitannya dengan 60 tahun ulang tahun kemerdekaan Sarawak.
YBrs. Dr. Hazami memaklumkan bahawa entri yang terkumpul dalam Kamus Melayu Sarawak – Melayu Dewan itu mencakupi dialek-dialek yang dituturkan di seluruh bahagian di Sarawak dan digunakan dalam kehidupan seharian.
Sebanyak 8120 entri dan 5431 subentri berserta contoh penggunaan diperoleh. Setiap entri juga diberikan kelas kata, takrifan, fonetik, contoh penggunaan dan bahasa Melayu Sarawak dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu standard.
Mengulas lanjut, Ketua Pengarah DBP memaklumkan bahawa kunjungan hormat tersebut diadakan untuk membincangkan hala tuju DBP dan kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan pada masa akan datang dalam menyampaikan perkhidmatan yang efektif kepada masyarakat.
Ujar beliau, sebagai pusat khazanah ilmu, DBP kaya dengan pelbagai terbitan buku ilmiah yang boleh dimanfaatkan dalam nilai sejagat demi kesejahteraan negara.
Hadir sama dalam kunjungan hormat tersebut ialah YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak dan Encik Nasir Hamid, Pegawai Komunikasi Korporat DBP Cawangan Sarawak.
Sejurus selepas kunjungan tersebut, YBrs. Dr. Hazami bersama-sama sidang editor Dewan Masyarakat, iaitu YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah, Encik Abd. Kadir Mohd Ayub, Editor Dewan Masyarakat, Puan Fatin Syazana Zulkafali, Penolong Editor Dewan Masyarakat turut mengadakan sesi wawancara bersama-sama Premier Sarawak bagi penerbitan Dewan Masyarakat Edisi Khas. Penerbitan majalah tersebut berkisar tentang pembangunan Sarawak, khususnya dalam teknologi dan sektor tenaga boleh diperbaharui.