28 September 2023, 20:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Pelibatan murid sekolah dalam aktiviti luar bilik darjah atau kokurikulum  dapat membantu membina kemahiran insaniah yang dapat membentuk personaliti murid sekolah.

Aktiviti kokurikulum dapat memupuk kemahiran komunikasi, menyelesaikan masalah, semangat berpasukan, mengendalikan masa dan sifat kepimpinan yang merupakan antara kemahiran insaniah yang penting untuk dimiliki setiap murid.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 bagi Peringkat Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ali Ahmad, Jalan Dato Ali, Kangar.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP Perlis), Datuk Johari Mohd Darus; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Cikgu Naharudeen Othman dan Pengetua Sekolah, Encik Mohamad Nor Man.

Menurut Encik Mohamad Nor Man, SMK Dato’ Ali Ahmad memperoleh pencapaian cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2022 dengan calon layak sijil meningkat daripada 89% kepada 98% dan keputusan 100% lulus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Selain itu, seorang murid SMK Dato’ Ali Ahmad juga dipilih mewakili negeri Perlis dalam program Jambori Skim Lencana Anti Dadah Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan.

Dalam bidang sukan pula, Amsyar Zahin Mohd Hafiz telah dinobatkan sebagai Johan dalam Kejohanan Boling Tenpin Majlis Sukan Sekolah-sekolah Perlis (MSSPs) kategori bawah 15 tahun.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan merasmikan Perpustakaan Ar Razi yang merupakan perpustakaan baharu berkonsepkan taksonomi seperti Internet Benda (IoT), elemen keusahawanan, pertanian, pengurusan acara dan komunikasi.

Antara sudut yang terdapat di pusat ilmu ini termasuklah sudut pidato, info digital, sudut santai, sudut permainan dan sudut pembelajaran berasaskan teknologi maklumat.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.