30 September 2023, 10:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melawat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bencana di Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, Arau, semalam.

Arau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihati agar rakyat sentiasa berwaspada dengan paras air dan keadaan sekeliling, serta menjauhi tempat yang dilanda banjir.

Taburan hujan yang lebat dan berterusan telah mengakibatkan banjir dan menjejaskan beberapa kawasan di sekitar negeri Perlis.

Setiap individu dan isi rumah yang terjejas akibat banjir ini perlu mematuhi segala garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Dalam kunjungan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bencana di Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, Arau, baginda memaklumkan bahawa sebanyak 16 buah keluarga yang terdiri daripada 44 orang mangsa telah ditempatkan di PPS ini, yang merupakan penduduk dari Kampung Kubang Gajah dan Kampung Alor Ara.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut mengiring baginda dalam lawatan tersebut ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Ketika menjelaskan perkara tersebut, baginda bertitah,

Setiap mangsa tidak kira di mana-mana PPS yang ditempatkan perlu sentiasa minum air yang telah dimasak,  jaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling, basuh tangan sebelum makan serta selepas ke tandas.

Sekiranya mengalami cirit-birit atau muntah, mangsa perlu mendapatkan rawatan segera.

Sementara itu, baginda turut menasihati kepada mangsa banjir supaya mematikan semua punca bekalan elektrik apabila berpindah dan tidak menyentuh dawai elektrik yang terjatuh di kawasan banjir.

Dalam situasi ini, pihak berkuasa juga perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan sentiasa memantau kawasan hot spots banjir di negeri ini, cakna akan paras air semasa dan memastikan setiap penduduk memberikan kerjasama yang baik bagi mengelakkan sebarang kemalangan jiwa berlaku.

Sebelum itu, Program Hijrah Minda bagi kali ke 16 tahun 2023 anjuran MAIPs telah diadakan di Masjid Al-Abrar Kubang Gajah.

Sebanyak 20 penerima asnaf yang dikenal pasti oleh pihak Jawatankuasa Kariah Masjid berkenaan telah menerima sumbangan bantuan sara hidup MAIPs yang disampaikan oleh Tuanku Raja Muda.

Tuanku Raja Muda turut berkenan menyampaikan sumbangan bantuan sara hidup daripada MAIPs bagi membantu golongan asnaf.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.