Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Kinabalu – Wacana Peradaban yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) telah berlangsung di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah, pada pagi ini.
Dato’ Haji A. Aziz Deraman selaku Presiden PERADABAN telah bertindak sebagai pembicara program yang julung-julung kalinya diadakan di Sabah ini.
Program berkonsepkan wacana ini bertujuan untuk menyediakan wahana perkongsian ilmu bahasa dan persuratan, memperbanyak program yang dapat mengangkat peranan bahasa dan sastera terhadap pembangunan insan, di samping memperluas jaringan kerjasama dalam penganjuran program pengembangan bahasa dan sastera.
Dalam pengenalan bicaranya, Dato’ A. Aziz Deraman mengangkat isu modenisasi yang memberikan dampak positif dan negatif kepada peradaban manusia. Beliau turut berkongsi segala hal tentang peradaban yang diruntuhkan oleh kelemahan manusia, selain menghuraikan manfaat bahasa dan kesusasteraan bagi memperkasakan keutuhan jiwa dan keterbukaan minda bangsa.
Modenisasi membawa 1001 faedah dan kebaikan kepada kehidupan pada masa ini – dengan segala kecanggihan teknologi, peningkatan cara dan taraf hidup. Semua ini mendatangkan kejayaan dan kecemerlangan kepada peradaban manusia, namun tetap ada akibat negatifnya.
Di samping itu, Dato’ A. Aziz Deraman turut membawa hadirin menelusuri sejarah tamadun zaman lampau, misalnya Tamadun Mesopotamia, Mesir, Aztec, Maya, Lembah Indus, Hwang Ho dan sebagainya. Dari zaman Dinasti China, peradaban manusia bergerak melalui tamadun Islam yang melingkari zaman Khalifah, Umaiyyah, Abasiyyah, Uthmaniyyah, Kesultanan Delhi, Empayar Mughal, Kesultanan Melayu di dunia Melayu, termasuklah Tanah Melayu, Pattani, Sumatera, Mindanao dan Sulu, Brunei dan Kalimantan, Sulawesi dan sebagainya.
Beliau menekankan bahawa keruntuhan dan kepupusan semua tamadun lampau itu diakibatkan oleh kelemahan manusia. Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa jalan keluar daripada keruntuhan peradaban ini menerusi kekuatan ilmu, kepandaian dan kemajuan intelektualisme atau akal budi bangsa setiap peradaban.
Dari perspektif Islam, beliau berkata,
Cabaran peradaban dan masa depan umatnya dilingkari persoalan ketuhanan dan aqidah (tauhid), kehidupan dan syariat (fiqh) serta kemanusiaan dan akhlak (tasawuf) yang ditentukan oleh keimanan dan taqwa, amalan dan suruhan kewajipan sebagai hamba Allah Azzawajalla, keterhakisan atau kerosakan akhlak atau moral yang menjadi sebab musabab kejatuhan ummah dan keruntuhan peradaban.
Peranan bahasa dan kesusasteraan kemudiannya diperjelas sebagai membawa manfaat dalam cabaran peradaban melalui keutuhan jiwa dan keterbukaan minda bangsa.
Misalnya DBP, sebagai ejen pembangunan peradaban bangsa melalui bahasa Melayu perlu ditingkatkan. DBP perlu mengatur strategi dan pendekatan yang lebih kemas dan berkesan. DBP tidak boleh melepaskan tangan dalam upaya dan usaha mendepani cabaran perkembangan peradaban baru sejagat akibat kemajuan sains dan teknologi, khususnya teknologi informasi dan komunikasi.
Secara keseluruhan, Dato’ A. Aziz Deraman merumuskan bahawa cabaran peradaban masa depan harus didepani dari sekarang dengan ilmu, iman dan amal. Semua kaum dan etnik perlu mengangkat peradaban Malaysia ke aras yang lebih tinggi melalui prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia.
Turut hadir mengikuti program ini ialah Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah dan Puan Jennitah Noordin, Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sabah. Selain karyawan DBP Cawangan Sabah, program ini turut disertai oleh pelajar dari Kolej Teknologi Yayasan Sabah Kota Kinabalu dan beberapa orang pensyarah Universiti Malaysia Sabah.