21 Oktober 2023, 18:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Program Hari Terbuka “Jom Masuk UM” Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya telah berlangsung dengan meriahnya pada hari ini bertempat di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UM) Kampus Cyberjaya, iaitu kampus baharu Universiti Malaya.

Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya yang ditubuhkan pada tahun 1998 merupakan salah sebuah Pusat Tanggungjawab (PTj) Akademik Universiti Malaya (UM) dengan mempelopori konsep “Pendidikan Sepanjang Hayat”.

Reruai pameran meriah dikunjungi orang ramai.

Program yang dianjurkan buat kali kedua pada tahun ini merupakan program khas tahunan  bertujuan untuk membina ikatan kemesraan antara warga Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya dengan masyarakat umum, selain memberikan peluang kepada prospek untuk meneroka maklumat pengajian tentang pelbagai program pendidikan dan latihan yang ditawarkan, termasuklah program Diploma dan Diploma Eksekutif, Sijil Profesional dan kursus pendek dalam pelbagai bidang. Kebanyakan program yang ditawarkan adalah secara separuh masa, selaras dengan keperluan individu dan korporat.

Prospek program pada kali  ini menyasarkan  lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih belum mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi dan pelajar yang telah mendapat tawaran belajar namun belum membuat keputusan sama ada ingin melanjutkan pengajian atau ingin berkerjaya.

Dekan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, YBrs, Prof. Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail.

YBrs. Profesor Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail, iaitu Dekan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya yang telah merasmikan program menjelaskan bahawa PTj akademik UM  ini turut memegang fungsi yang sama seperti fakulti dan akademi lain yang terdapat di kampus utama UM.

PTj mempunyai proses pengambilan tersendiri dan tidak bergantung kepada Unit Pusat Universiti (UPU), selain menawarkan pelbagai alternatif untuk bantuan kewangan, termasuklah kolaborasi dengan pihak Pusat Perhubungan Alumni dan Kemajuan Institusi (CARIA) UM untuk membiayai yuran penginapan pelajar melalui Zakat Wakalah.

Gimik pelancaran Hari Terbuka “Jom Masuk UM” menghangatkan lagi upacara perasmian.

Dalam ucapannya, YBrs. Profesor Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail turut mengambil peluang untuk menguar-uarkan tentang penawaran Biasiswa Dekan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya bermula pada tahun ini untuk manfaat dan kemudahan semua pelajar.

Biasiswa Dekan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya dirangka adalah bertujuan untuk meraikan inklusiviti dan kesaksamaan dalam pendidikan, mengiktiraf variasi kecerdasan yang tidak selalu tercermin dalam prestasi akademik tradisional termasuklah untuk membangunkan sumber daya manusia yang berdaya saing dengan pelbagai bakat.

Penawaran biasiswa yang ditawarkan eksklusif kepada pelajar di PTj akademik UM ini diharapkan berupaya mengurangkan kesenjangan pendidikan dan menawarkan peluang keemasan baharu buat mereka yang tidak mengenal erti putus asa untuk menikmati atmosfera pembelajaran di institusi pengajian tinggi.

Bersempena dengan program Hari Terbuka “Jom Masuk UM” ini, pelbagai tawaran menarik ditawarkan kepada prospek, antaranya termasuklah baucar pendaftaran bernilai RM500, surat tawaran segera, diskaun, bantuan kewangan dan khidmat nasihat.

Penceramah sedang memberikan tips kepada peserta Bengkel Pecutan SPM.

Hari Terbuka “Jom Masuk UM” pada kali ini juga lebih menarik dengan penganjuran dua program khas secara percuma, iaitu Bengkel Pecutan SPM bagi subjek Matematik, Sains dan Bahasa Melayu kepada 400 orang pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini dan juga Program Perkongsian Ilmu Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), iaitu Bengkel Khas Persiapan Menjelang 2024: Cabaran dan Penyelesaian khusus buat ibu bapa, warga bekerja dan pelajar.

Antara aktiviti lain yang turut diadakan termasuklah taklimat dan pameran program pengajian, pameran pembiayaan pendidikan, pameran daripada agensi kerajaan dan swasta, pesta trak makanan (food truck fiesta), cabutan bertuah, acara sepak penalti dan Soopa Doopa.

Dekan PTj Akademik UM menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah.
Wajah ceria peserta Bengkel Pecutan SPM.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.