Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Farid Janudin
Cyberjaya – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyeru anak-anak muda agar bangkit menyelamatkan Malaysia dengan kesedaran akan peri pentingnya bahasa, ilmu dan budaya membaca dalam pembinaan tamadun negara.
Menurut beliau, pemerkasaan bahasa Melayu perlu diterapkan dalam diri generasi muda supaya bahasa kebangsaan itu berkembang mengikut peredaran zaman.
Pemerkasaan bahasa, sastera dan budaya merupakan sesuatu yang integral dalam pembinaan bangsa. Maka itu, janganlah sesekali kita memandang remeh tentang bahasa kebangsaan lebih-lebih lagi dalam pembangunan teknologi digital ini.
Tambah beliau, pendekatan agresif ini hendaklah dilakukan sebagai usaha untuk mendekatkan masyarakat dengan budaya membaca. Penguasaan dan pembudayaan membaca memerlukan desakan daripada ibu bapa, para pendidik dan pemikir agar rakyatnya mampu membezakan antara maklumat, pengetahuan dengan kepentingan asas.
Dalam konteks Malaysia MADANI, penguasaan ekonomi dan digital tidak akan mematangkan negara tanpa pemerkasaan budaya, yakni tonggaknya adalah pemerkasaan bahasa.
Demikianlah kata YAB Dato’ Seri Anwar ketika merasmikan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Universiti Multimedia (MMU), yang berlangsung di Universiti Multimedia, Cyberjaya pada tengah hari tadi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; Ketua Polis Negara, YDH Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Haji Pkharuddin Haji Ghazali; Pengerusi MMU, YBhg. Profesor Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud; dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami Jahari.
Sementara itu, YAB Dato’ Seri Anwar turut mengatakan bahawa urusan surat rasmi yang dihantar kepada kerajaan diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan.
Tegas beliau,
Surat rasmi kerajaan perlu ditulis dalam bahasa kebangsaan, termasuklah institut pengajian tinggi. Sekiranya menggunakan bahasa lain, surat tersebut akan dipulangkan semula.
Pada masa yang sama, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan turut mengatakan bahawa Program Dekad Membaca Kebangsaan merupakan acara tahunan yang dilaksanakan bagi meningkatkan budaya membaca dan cinta akan ilmu, serta menambah tradisi keilmuan dalam kalangan masyarakat. Menurut beliau,
Bahasa Melayu telah memainkan peranan dan fungsinya dalam membina keintelektualan bangsa.
Golongan teknokrat dan birokrat yang memacu kemajuan negara pada hari ini terdiri daripada mereka yang lahir daripada sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Ujar beliau, semua pihak termasuklah DBP, agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) telah dan sedang merancang pelbagai inisiatif bagi meningkatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat sejagat.
Sementara itu, dalam majlis yang sama turut dilancarkan buku di bawah Dana Inisiatif Belanjawan 2023 yang diterbitkan oleh DBP, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Yayasan Karyawan dan penerbit luar.