Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebagai rakyat Malaysia yang telah bersumpah setia untuk bernaung di bumi bertuah ini, seharusnya bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa utama negara dan menjadi asas yang kukuh kepada pemartabatan bahasa kebangsaan sebagai tonggak perpaduan negara.
Demikian antara inti pati utama ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Ahmad Maslan yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Seminar Bahasa Tonggak Perpaduan “Bahasa Jiwa Bangsa” yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pagi tadi.
Dalam memastikan kelangsungan pihak kerajaan untuk terus memacu negara bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang cemerlang dengan mengikut acuan dan asas kekuatan sendiri, perpaduan yang hakiki dalam kalangan rakyat merupakan petunjuk yang amat penting.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa segala permasalahan, punca dan hakikat sebenar berkaitan dengan isu penguasaan dan kecintaan terhadap bahasa Melayu melibatkan pelbagai kaum dan wilayah yang seperti tiada kesudahan perlu diteliti secara terperinci bagi penyediaan pelan pelaksanaan strategi untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Menurut beliau, tindakan mencari penyelesaian yang ampuh dan holistik dalam menangani isu pemerkasaan bahasa adalah penting bagi mengelakkan usaha membentuk perpaduan bangsa melalui bahasa ini menemukan kegagalan.
Kita tidak perlu mempunyai sifat rasa rendah diri apabila menggunakan bahasa Melayu dalam urusan kehidupan, terutamanya yang melibatkan urusan rasmi dan komunikasi antara satu sama lain kerana amalan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mampu menyepadukan rakyat di negara ini.
Tegas beliau, masyarakat khususnya golongan muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa hadapan haruslah mempunyai sifat kasih sayang terhadap bahasa Melayu kerana jika elemen bahasa kebangsaan yang menjadi tiang seri bagi negara ini musnah, maka segala usaha yang dilakukan untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang progresif hanya akan menjadi impian semata-mata.
Beliau juga menyeru kepada semua pihak, termasuklah sektor kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan, terutamanya di sektor pendidikan, pertubuhan belia, media massa, golongan artis dan pempengaruh media sosial agar bersama-sama menjadi penyumbang utama dalam memperkasakan bahasa Melayu sebagai wahana perpaduan di negara ini.
Mengakhiri ucapan perasmian, beliau turut mencadangkan kepada DBP dan pihak yang berkaitan untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perniagaan menerusi pelbagai cara yang sesuai selain bahasa itu berfungsi sebagai bahasa ilmu.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan dalam ucapannya menyatakan bahawa penganjuran seminar pada hari ini ialah satu daripada usaha yang berterusan bagi memastikan DBP menjadi pemacu utama kepada pihak kerajaan dan rakyat Malaysia dalam memperkasakan pembinaan tamadun bangsa di negara ini.
Seminar ini bertujuan memberikan pemugaran semangat kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya kepada para pejuang dan pencinta bahasa, sastera, seni budaya dan persuratan Melayu agar terus komited dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai tonggak perpaduan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa bahasa Melayu perlu menjadi bahasa pemersatuan rakyat bagi mewujudkan keharmonian dan keamanan dalam era kerajaan MADANI pada masa ini dengan memastikan DBP akan terus tangkas dan berwibawa dalam usaha melaksanakan fungsinya sebagai agensi perancangan bahasa tunggal di dalam negara bagi menghadapi gelombang globalisasi yang kian mencabar.
Pembinaan, penggalakan, pengiktirafan, pemupukan dan penerbitan berkaitan dengan aspek bahasa Melayu perlu dilaksanakan secara bersinergi bersama-sama pelbagai pihak berkepentingan di dalam negara dan di luar negara bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Pada masa yang sama, beliau juga menyeru agar semua pihak memberikan sokongan padu kepada DBP dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai tonggak tamadun bangsa.
Turut hadir dalam program berkenaan ialah Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri, YBhg. Dato’ Seri Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Perak, YB Howard Lee Chuan How, Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, YBhg. Dato’ Dr. Fathul Bari Mat Jahya, Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan, YB Ahmad Fadhli Shaari, barisan Pengarah Jabatan DBP, Ketua-ketua Bahagian DBP, wakil agensi, rakan media, karyawan DBP dan tetamu undangan lain.
Jurufoto: Mohd Farid Janudin