Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Farid Janudin
Kuala Lumpur – “Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak ketika melancarkan Rukun Negara pada tahun 1970 pernah menyatakan bahawa Rukun Negara harus menjadi satu dokumen yang bukan sekadar dokumen semata-mata, tetapi harus diamalkan.”
Demikian ucapan yang disampaikan oleh Pensyarah Sosiologi Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian selaku moderator bagi “Sesi II: Rukun Negara Aspirasi Bersama” yang diadakan bersempena dengan Seminar Bahasa Tonggak Perpaduan “Bahasa Jiwa Bangsa” yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, pada petang tadi.
Sesi tersebut turut menampilkan Penasihat Agama kepada YAB Timbalan Perdana Menteri, YH Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali dan Penasihat Majlis Perpaduan Negara, Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin.
Menurut YH Dato’ Dr. Mohd Khairuddin, Rukun Negara diperkenalkan sebagai penyelesaian konflik perpaduan dalam kalangan masyarakat apabila terjadinya Peristiwa 13 Mei 1969 sehingga menyebabkan berlakunya darurat di Malaysia.
Tambah beliau,
Lima prinsip yang diterapkan dalam Rukun Negara sudah cukup dijadikan sebagai asas dalam perpaduan.
YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin turut berpendapat bahawa generasi yang berusia sekitar 50-an lebih menghayati dan mengamalkan prinsip Rukun Negara kerana golongan tersebut mendokong aspirasi kerajaan bagi membina suatu bentuk masyarakat yang maju, dinamik, bertoleransi dan mempunyai rasa kesatuan dalam jiwa demi menuju negara bangsa.
“Pada hari ini, Malaysia telah berada dalam keadaan yang kukuh dan dinamik, tatkala banyak negara lain yang sudah lama mencapai kemerdekaan dan kemudiannya runtuh. Hal ini disebabkan oleh kepimpinan negara yang kuat dan kesatuan kita yang utuh,” ulas beliau pada sesi tersebut.
Seminar Bahasa Tonggak Perpaduan “Bahasa Jiwa Bangsa” yang diadakan pada hari ini merupakan program berbentuk wacana yang mengetengahkan tokoh pelbagai bidang bagi membincangkan pemikiran berkaitan dengan peradaban dan pemersatuan bangsa.
Selain “Sesi II: Rukun Negara Aspirasi Bersama”, seminar tersebut turut membincangkan dua sesi seminar lain, iaitu “Sesi I: Silang Budaya Rukun Harmoni” dan “Sesi III: Bahasa Sendi Tamadun Bangsa”.