Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Terengganu – Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail memberikan penghormatan kepada Komander Rejimen Askar Wataniah dari seluruh negara dalam Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu, semalam.
Menurut Tengku Baharuddin selaku Komander Rejimen 512 Askar Wataniah, persidangan tahunan ini bertujuan untuk mendapatkan maklum balas mengenai aspek latihan, pentadbiran dan logistik Pasukan Simpanan Tentera Darat di negara ini.
Majlis ini merupakan satu daripada penghormatan yang amat besar kepada rejimen yang telah diamanahkan untuk menganjurkan Sidang Komander Askar Wataniah pada tahun ini.
Sidang ini juga adalah forum yang bertanggungjawab sebagai penasihat kepada Panglima Tentera Darat mengenai perihal Askar Wataniah.
Bersempena dengan Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 34 bagi Tahun 2023 yang berlangsung bermula 14 November hingga 16 November 2023, negeri Perlis merupakan tuan rumah bagi persidangan berkenaan yang dihoskan oleh Rejimen 504 Askar Wataniah di bawah naungan Tuanku Raja Muda selaku komander pada tahun 2022.
Jelas beliau lagi,
Saya berharap agar sidang ke-34 yang diadakan di bumi Terengganu Darul Iman ini akan dapat mencapai objektif yang digariskan serta terus mendukung dasar pertahanan negara yang telah menetapkan dua komponen di dalam Angkatan Tentera Malaysia merangkumi Pasukan Tetap dan Pasukan Simpanan bagi melengkapkan ‘Total Force Concept’ ataupun konsep angkatan menyeluruh.
Keberangkatan tiba baginda ke majlis itu disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.
Berangkat sama ialah Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin; dan Tengku Seri Temenggong Raja Terengganu, Brigedier Jeneral Datuk Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
Turut hadir ialah Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim; dan Asisten Panglima Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia (TDM), Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab.