17 November 2023, 09:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis berkenan mengetuai Komander Rejimen Askar Wataniah ke arkib dan galeri UniSZA, Kuala Terengganu.

Kuala Terengganu – Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengetuai Komander Rejimen Askar Wataniah dari seluruh negara melawat Arkib dan Galeri Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Terengganu pada Sabtu lepas.

Kunjungan ke pusat sumber dan rujukan utama pelajar UniSZA yang menyediakan perkhidmatan maklumat terkini, lengkap dan tersusun dalam persekitaran yang kondusif di dalam Perpustakaan Al-Wathiqu Billah universiti tersebut diadakan bersempena dengan mesyuarat Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 34 bagi Tahun 2023 dari 14 hingga 16 November 2023.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA, Profesor Ts. Dr. Shukor Abd Razak mempersembahkan taklimat kepada Tuanku Raja Muda semasa lawatan diadakan.

Berangkat sama ialah Raja Muda Kedah, Brigedier Jeneral Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin; Tengku Seri Temenggong Raja Terengganu, Brigedier Jeneral Datuk Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah; dan dan Tengku Panglima Raja Pahang, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir ialah Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim selaku Pengerusi Mesyuarat; dan Asisten Panglima Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia (TDM), Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab.

Sejurus itu, delegasi tersebut turut mengadakan kunjungan ke Menara 2 Drawbridge bagi menyaksikan Demonstrasi Jambatan Angkat.

Delegasi turut mengadakan kunjungan ke Menara 2 Drawbridge bagi menyaksikan demonstrasi jambatan angkat.

Menurut sejarah dan rekod, jambatan sepanjang 638-meter ini merupakan ‘Drawbridge’ yang pertama di Asia Tenggara dan jambatan keempat yang merentasi Sungai Terengganu. Drawbridge ini telah mendapat pengiktirafan Anugerah Emas Pelancongan Malaysia 2019 sebagai Ikon Pelancongan Baharu Terbaik dan juga menjadi satu daripada tarikan untuk pelancongan utama di Terengganu.

Reka bentuknya yang unik itu membolehkan jambatan dinaikkan dan diturunkan menggunakan sistem hidraulik bagi memudahkan pelbagai jenis kapal melaluinya, khususnya dalam urusan pengangkutan maritim.

Pegawai Operasi Kuala Terengganu Drawbridge, Mohd Amran Mat Jusoh mempersembahkan taklimat mengenai Drawbridge berkenaan kepada para tetamu yang hadir.

Pada sidang kali ini, ahli SKAW turut diberi pendedahan mengenai Kertas Putih Pertahanan, Strategi Ketahanan Negara 2.0 dan Relevansi AW dalam aspek pertahanan negara yang dikongsikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.