Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) cakna mengenai video tular terhadap seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, Sabah yang tidak mempunyai kediaman dan terpaksa tinggal di sekolah, baru-baru ini.
Sehubungan dengan itu, KPM telah mengambil tindakan untuk menambah baik akses dan fasiliti pendidikan di sekolah tersebut. Kerja-kerja pembinaan melibatkan pembinaan blok akademik dan pentadbiran serta kemudahan lain termasuk pembelian perabot sedang rancak berjalan.
Berdasarkan kenyataan media KPM, pembinaan empat (4) unit kuarters baharu di SK Ulu Ansuan telah diluluskan semasa pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu.
Kesemua projek penambahbaikan akses dan fasiliti pendidikan di SK Ulu Ansuan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM12.5 juta.
Bagi penyelesaian jangka pendek berkenaan dengan kediaman guru di sekolah tersebut pula, KPM telah siap melaksanakan projek selenggara kuarters dengan peruntukan sebanyak RM200,000.
KPM terus tekad untuk menambah baik akses dan fasiliti di semua sekolah di seluruh negara yang memerlukan perhatian bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid serta seluruh warga sekolah terpelihara.