Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPauh Putra – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Canselor UniMAP berkenan berangkat menyempurnakan Sidang Ke-3 Istiadat Konvokesyen UniMAP di Dewan Ilmu UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli berserta pengurusan tertinggi universiti. Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.
Dalam majlis tersebut, DYTM Raja Muda Perlis bertitah bahawa Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) bersama-sama dengan Komuniti Setempat, iaitu “Program Rumah Ibadat Hijau” (RIH) yang dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah memberikan impak yang cukup besar kepada komuniti apabila masjid-masjid terpilih dilengkapi dengan teknologi kelestarian yang boleh menjimatkan penggunaan tenaga elektrik dan air.
Titah baginda lagi, elemen teknologi hijau yang telah diterapkan di masjid-masjid ini merupakan faktor utama kawasan tersebut diiktiraf sebagai zon rendah karbon oleh pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 atau “Low Carbon Cities 2030 Challenge”.
Baginda turut bertitah bahawa keindahan dan kecanggihan infrastruktur semata-mata tanpa disusuli dengan kekayaan pengisiannya adalah tidak bermakna. Titah Tuanku Raja Muda lagi:
“Peranan UniMAP sebagai medan ilmu utama amatlah dititikberatkan, (oleh itu) saya menyeru kepada UniMAP untuk terus memastikan budaya perkongsian ilmu dalam kalangan komuniti setempat akan terus dipertingkatkan”
Sebagai rekod, sebanyak 484 orang graduan telah terlibat dalam sidang Istiadat Konvokesyen pada kali ini yang terdiri daripada siswazah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE).